Monday, June 27, 2022

Pemandu Proton Wira lawan arus ditahan

Secara Rawak

KUCHING: Pemandu Proton Wira yang tular melawan arus di simpang lampu isyarat Pending berhampiran Klinik Kesihatan Tanah Puteh, di sini telah ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, suspek, wanita berumur 75 tahun itu telah tampil menyerah diri ke IPD Kuching kelmarin.

“Pada sebelah petang, kita telah menemui kenderaan beliau di kawasan Pending dan pada sebelah malam, suspek telah hadir sendiri ke IPD Kuching.

“Buat masa sekarang, suspek telah diambil keterangan dan dijamin polis dan kertas siasatan kita akan rujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Ketua Polis Daerah Kuching di IPD Kuching, di sini hari ini.

Katanya, kenderaan yang digunakan oleh suspek semasa kejadian tersebut turut dirampas.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan, suspek mendakwa pada masa kejadian, beliau tergesa-gesa untuk menjual barangan terpakai di kilang barang lusuh berhampiran.

“Memandangkan kilang tersebut dijangka ditutup dalam masa singkat dan kesesakkan tersebut, beliau telah mengambil keputusan tidak wajar dengan menongkah arus untuk ke kilang barang lusuh tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, polis mengesan individu memandu kereta melawan arus di simpang lampu isyarat Pending berhampiran Klinik Kesihatan Tanah Puteh, di sini pada Sabtu yang mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Polis IPD Kuching mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berkenaan hantaran di laman Facebook yang memaparkan kejadian berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan dengan cara yang merbahaya kepada orang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru