Friday, July 1, 2022

Tiada Internet diatasi segera

Secara Rawak

PADAWAN: Menara telekomunikasi yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi dan Internet akan diselesaikan segera.

Timbalan Menteri Pengangkutan I Datuk Dr Jerip Susil berkata, perkara itu mendapat perhatian Kerajaan Sarawak untuk tindakan selanjutnya bagi membolehkan syarikat telekomunikasi memasang piring satelit di menara tersebut.

Jelasnya, ketiadaan nilai komersial yang dihadapi oleh syarikat telekomunikasi antara sebab beberapa syarikat tidak berhasrat memasang piring satelit pada menara telekomunikasi.

“Kesemua ini disebabkan oleh nilai komersial kerana syarikat telekomunikasi ini tidak berkenan untuk memasang piring satelit kerana tiada pulangan pelaburan.

“Kerajaan Sarawak menyedari kesemua masalah ini dan ia akan diselesaikan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan taklimat isu-isu semasa Jabatan Penerangan Malaysia di Pejabat Kecil Daerah Padawan, di sini kelmarin.

Jerip yang juga Adun Mambong berkata, Lembaga Multimedia Sarawak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengenal pasti syarikat untuk membina menara telekomunikasi di kawasan yang tidak mempunyai capaian yang memuaskan.

Katanya, pembinaan menara telekomunikasi tersebut akan menumpukan kawasan pedalaman dan kampung-kampung berdekatan sempadan.

“Menara ini akan dibina segera kerana kontrak telah dianugerahkan kepada syarikat dan kita berharap ia dipercepatkan,” ujarnya.

Bagi pemasangan jalur lebar, beliau berkata, penduduk kampung perlu membuat permohonan secara berkumpulan bagi memudahkan syarikat telekomunikasi melakukan pemasangan.

Katanya, Pejabat Kecil Daerah Padawan dan ketua kaum akan membuat penyelarasan dan memberi borang kepada mereka yang ingin memasang jalur lebar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru