Sunday, June 26, 2022

Sarawak beri tumpuan penanaman komersial

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberi tumpuan terhadap penanaman komersial kelapa, nanas, pisang, durian dan nangka untuk dieksport ke luar negara.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, tanaman tersebut amat berpotensi kerana mendapat permintaan dan sambutan yang tinggi di luar negara termasuk negara China.

“Dalam pada itu, kita akan menjemput syarikat-syarikat peneraju besar untuk kerjasama serta membimbing dari segi pemasaran.

“Sementara bagi golongan petani, kita akan mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi di seluruh negeri bagi menggalakkan mereka menanam secara berkelompok dan skala besar supaya dapat memenuhi permintaan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Tambahnya, kementeriannya telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkasakan pertanian dinegeri ini kerana merupakan antara tonggak utama kerajaan negeri dalam strategi pembangunan Sarawak pasca-Covid-19.

“Tanah di negeri ini sebenarnya subur, cuma kita tidak dapat memenuhi permintaan luar dari segi kualiti dan kuantiti.

“Selain itu, pada masa ini para petani kita menanam dalam skala kecil dan bertaburan.

Jadi kita hendak mengenal pasti satu kawasan berkelompok contohnya di kawasan Mukah yang sesuai bagi tanaman nanas dan kelapa dan limau madu.

“Sementara bagi pedalaman, kita boleh menanam durian dan mengetengahkan produk tempatan dengan penglibatan syarikat peneraju,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, terdapat syarikat sudah dikenal pasti dan beberapa perjanjian sudah dimeterai.

Namun ia masih belum mencukupi.

“Kita sedang mencari syarikat-syarikat yang layak dan berpengalaman terutamanya dari Semenanjung termasuk penyertaan dari China,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru