Friday, July 1, 2022

Menelusuri sungai demi memberi ilmu

Secara Rawak

CABARANNYA hebat kerana bukan calang-calang guru boleh menyahut cabaran ke pedalaman malah jatuh cinta tengan tugasan di sana. “Perjalanan ke sekolah mengambil masa empat jam, melalui jalan yang berbukit sebelum menyeberangi sungai menggunakan perahu untuk sampai ke sekolah,” kata Cikgu Almon Bantin John.

Bertugas di pedalaman Sekolah Rendah Long Aton Ulu Tinjar Baram, Cikgu Almon menganggap untuk lebih menghargai peluang dan rezeki yang diberi untuk bergelar guru di kawasan pedalaman.

Biarpun baru sahaja enam bulan  ditempatkan di sana, sehingga kini Almon menanam tekad alah bisa tegal biasa – akan semua situasi yang berlaku. “Kami terpaksa menggunakan jalan balak selama tiga jam lebih ke Klinik Long San ataupun menggunakan perahu yang mengambil masa dua jam untuk sampai ke Klinik Long Loyang,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sebelum ditempatkan untuk mengajar di sekolah pertama berkhidmat, Cikgu Almon pernah mengajar sebagai guru ganti selama hampir setahun di sekitar Saratok.

Tambahanya, untuk datang ke sekolah di Baram, beliau perlu menaiki kereta pacuan empat roda dan untuk sampai ke kampung berdekatan perlu menggunakan perahu ke seberang sungai.

Malah ujarnya, sekiranya  terputus bekalan air dari kawasan bukit, pihaknya bersama-sama penduduk setempat terpaksa meredah hutan selama 45 minit untuk mengenal pasti dan membaiki saliran air bukit yang tersumbat.

“Akses Internet sangat terhad, guru sentiasa bangun awal pada jam 2 pagi untuk mengakses Internet bagi memudahkan kerja.

Namun ia tidak mematahkan semangat kami,” jelas anak kelahiran Saratok ini. Mendepani segala cabaran yang dilalui supaya sentiasa positif dan menerima segala kekurangan, menjadi kunci utama Cikgu Almon bertahan.

“Kita mengajar di pedalaman perlu menjaga emosi sentiasa dan berkawan dengan hutan sebagai terapi diri. “Selalu rindu dengan keluarga perkara biasa. Saya menelefon keluarga kalau ada masa. Tetapi di sini, kalau sunyi kami selalu lakukan aktiviti merentas hutan, memancing dengan rakan guru atau beriadah dengan orang kampung.

“Penduduk kampung di sini sangat gembira ada cikgu di samping mereka. Kadang-kadang mereka memberi hasil tanaman, ikan kepada saya, mereka sangat mesra. “Sekiranya ada perayaan contohnya baru-baru ini, Hari Ibu mereka akan menjemput semua kakitangan sekolah meraikan bersama-sama,” kongsinya antara pengalaman manis bergelar guru di pedalaman.

Cikgu Almon berharap agar agar semua pendidik terus bersemangat mendidik anak-anak bangsa walau di mana mereka berasa. “Nasihat saya kepada bakal guru, jangan memilih lokasi penempatan kerana pengalaman mengajar jauh atau pedalaman merupakan pengalaman paling berharga dalam kerjaya seorang guru.

“Umpamanya, di hutan kita redah, lumpur kita gempur, sekiranya jauh kita pergi bagi memastikan pendidikan itu sampai ke anak-anak murid.

“Bagi anak-anak murid pedalaman jangan berhenti menimba ilmu terus belajar dan belajar walau cabaran ada didepan kita.  “Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia. Anda semua yang terbaik,” jelasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru