Friday, July 1, 2022

Kemas kini undang-undang lama

Secara Rawak

KUCHING: Undang-undang sedia ada perlu ditambah baik dan dikemas kini untuk rakyat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang itu tidak statik dan perlu dipinda mengikut keadaan semasa.

“Kami sentiasa mengalualukan sebarang cadangan meminda mana-mana undang-undang untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagi kami di Sarawak, kami akan meneliti mana-mana undang-undang lama yang perlu dikemas kini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Koperasi Wanita Sarawak (Kowasa), di sini, kelmarin.

Tambah beliau lagi, “Apa-apa sahaja undang-undang lama yang perlu dibetulkan, kita kena betulkan.”

“Pada masa akan datang, kami akan membuat beberapa pindaan kepada undang-undang sedia ada di Sarawak,” katanya lagi.

Hasidah mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan undang-undang baharu atau pindaan undang-undang sedia ada berkaitan isu perumahan perlu diwujudkan di Sarawak bagi melarang pemaju menjual rumah melainkan rumah itu siap sepenuhnya.

Dr Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian berikutan projek perumahan Sentoria Borneo Samariang Garden (BSG) di sini, bermasalah.

Mengulas mengenai Mesyuarat Agung Kowasa, seramai 150 anggota Kowasa dari Sibu, Miri dan Kuching menghadiri mesyuarat agung sempena ulang tahun Kowasa ke-45.

Hasidah berkata, Kowasa adalah koperasi wanita terbaik di seluruh negeri.

“Saya difahamkan koperasi ini telah menerima penarafan A+, ia bukan satu proses yang mudah.

“Saya berharap koperasi ini dapat meningkatkan lagi prestasi dan menjaga amanah dalam memantau akaun bank,” katanya.

Beliau memberi jaminan akan terus menyokong apa-apa aktiviti atau program yang dianjurkan oleh koperasi.

Tambahnya, koperasi sentiasa boleh mendapatkan bantuan daripada pihaknya termasuk bantuan kewangan kerana koperasi adalah entiti perniagaan.

“Sila maklumkan kepada saya jika ada sebarang program supaya kita boleh melaksanakannya.

“Hal ini kerana kita ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan wanita terutamanya dalam pengurusan perniagaan,” tambahnya.

Adun Samariang itu turut menyerahkan borang permohonannya untuk menyertai Kowasa. Pengerusi Kowasa Datuk Seri Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi dan Timbalan Pengerusinya Datin Heriah Abd Manan turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru