Saturday, June 25, 2022

Hotel perlukan sejuta pekerja

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan kemasukan pekerja luar negara mengikut kapasiti had ditetapkan dalam menghadapi cabaran kekurangan pekerja dalam bidang perhotelan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dikeluarkan selepas pihaknya secara rasmi telah mengemukakan perkara tersebut kepada kementerian dan kabinet sebelum ini.

Menurutnya, sejuta pekerja diperlukan dalam bidang perhotelan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam pekerjaan sambilan termasuk pengurusan, tukang masak dan pembantu pembersihan.

“Sebenarnya memang diakui ini adalah salah satu cabaran, bukan sahaja di bidang hotel tetapi dalam keseluruhan ekosistem negara memang menghadapi cabaran tersebut.

“Cuma bagi kami di pelancongan, secara rasmi dan peribadi telah mengemukakan perkara ini kepada menteri dan kabinet dan melalui itu, dan kerajaan sebenarnya sudah luluskan untuk membawa pekerja dari luar negara (ada hadnya).

Cuma, itu baru kelulusan, selepas kelulusan adalah proses untuk membawa mereka masuk,” katanya pada dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra di Kraftangan Petra Jaya, di sini kelmarin.

Jelasnya, bilangan pekerja perhotelan menurun akibat wabak pandemik Covid-19 sehingga terpaksa diselenggara oleh pekerja warga tempatan sedia ada. Katanya, usaha kementeriannya cuba membuka peluang kepada warga tempatan juga sudah dilaksanakan sebelum ini menerusi pameran peluang pekerjaan dalam bidang perniagaan, namun keputusan kurang memuaskan mungkin disebabkan kekangan Covid-19.

“Jadi proses selanjutnya (membawa pekerja masuk) menyebabkan kita masih menghadapi cabaran dalam kalangan pekerja di hotel.

“Sebab itulah kalau boleh sememangnya saya menyarankan agar warga tempatan bekerja di hotel dan kita mahu rekrut sebanyak mungkin,” katanya.

Dedahnya, pekerjaan perhotelan kurang mendapat perhatian selepas Covid-19 termasuk ramai dalam kalangan mereka sudah menarik diri.

Untuk itu katanya, adalah lebih baik sekiranya warga tempatan mengambil peluang kerja itu daripada keluar keluar negara kerana ada antara mereka dapat keluar negara tetapi selepas itu tidak mendapat layanan yang baik.

“Kita juga banyak berhubung, di situ kita tahu melalui pemain industri kita mendapat maklum balas bahawa masih ramai lagi belum berani mencuba.

“Mereka rela tinggalkan kerja mungkin disebabkan ada alternatif lain seperti perniagaan dalam talian, kerja lain, ada kemahiran tersendiri dengan melakukan jahitan atau masakan.

“Itu adalah hikmah juga… kita dapat melihat warga tempatan kita sendiri mempunyai bakat dan mendapat rezeki mereka sendiri,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru