Friday, July 1, 2022

Guru perlu jadi ikon penting

Secara Rawak

KUALA LUMPUR, 16 Mei : Kerjaya guru bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian ilmu, tetapi ia mendesak para pendidik menjadi ikon penting dalam membentuk kemenjadian murid dengan keperibadian unggul, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata peranan mereka sebagai pembimbing penting dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti kepada kesejahteraan negara.

“Ini dapat dilaksanakan melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah,” katanya dalam Perutusan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 Tahun 2022, hari ini seperti dilapor Bernama.

Sambutan Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun.

Justeru, Radzi berharap warga pendidik dapat terus meningkatkan usaha dalam membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi bertepatan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat 14 elemen SEJAHTERA terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

Katanya, guru dapat menyampaikan penerapan elemen itu melalui pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru