Friday, July 1, 2022

Gabung empat agensi di bawah satu bumbung

Secara Rawak

KUCHING: Laporan akhir penubuhan entiti bekalan air bersepadu sebagai Pihak Berkuasa Air Negeri (SWA) dijangka disiapkan pada tahun ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, laporan tersebut penting untuk mentrasformasi serta meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air dengan pembentukan satu entiti yang mengendalikan untuk seluruh Sarawak.

“Kementerian masih menunggu butiran akhir laporan dan kajian yang dilakukan oleh perunding untuk kita menggabungkan semua empat agensi iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd (Laku).

“Setelah semuanya teratur, barulah kita bawa kepada kabinet negeri sebelum dibawakan ke persidangan Dun Sarawak yang akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sini, kelmarin.

Jelasnya, penggabungan tersebut penting kerana air merupakan sumber penting dalam kehidupan seharian masyarakat, maka ia perlu diuruskan dengan betul.

“Justeru, kami mahu usaha penggabungan ini diselesaikan secepat mungkin, tetapi ia tidak akan dibentangkan pada Dun yang bakal bersidang pada minggu depan,” jelasnya.

Terdahulu pada Januari lalu, Julaihi memberitahu Kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan sebuah badan korporat bekalan air bersepadu bagi mentransformasikan hala tuju bekalan air di negeri ini, sekali gus mencapai aspirasi negeri mempunyai utiliti bertaraf dunia, menjimatkan, selamat dan mampan.

Menjawab soalan berasingan, mengenai dakwaan Adun Padungan Chong Chieng Jen bahawa beliau dan Adun Pending Violet Yong belum menerima notis persidangan Dun minggu depan, Julaihi menegaskan ia tidak benar dan berasas.

“Semua wakil rakyat sudah menerimanya sejak awal lagi, jika notis tersebut belum dihantar, bagaimana pula semua Adun sudah menghantar soalan masing-masing kepada kementerian?

“Ini bermakna notis tersebut sampai kepada Adun.

Saya tidak tahulah jika mereka mengatakan tidak menerimanya, saya tidak memantau pihak pembangkang,” tegasnya.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut memberitahu hari ini (Ahad) akan berlangsung mesyuarat prapersidangan Dun Sarawak sempena persidangan bermula 17 hingga 26 Mei depan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru