Friday, July 1, 2022

Berdebat secara profesional

Secara Rawak

Anda pernah berdebat ketika di bangku sekolah? Ketika di sekolah pasti anda pernah terbabit dalam debat, sekurang-kurangnya di peringkat kelas. Atau anda hanya menjadi penonton dan khalayak debat dan tidak pernah menyertai sebarang debat.

Pada malam Khamis lalu, rakyat Malaysia berkesempatan menyaksikan debat antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua-duanya bekas Menteri Kewangan.

Adakah debat yang berkisar sekitar wajar atau tidak Sapura Energy Bhd. diselamatkan kerajaan, selain isu masa depan negara.

Banyak pihak yang bertanya, siapakah yang menang dalam debat itu? Jika anda tanya penyokong Najib, pasti mereka akan kata “Bossku” yang menang, dan begitulah sebaliknya.

Untuk membuat penilaian menang kalah secara objektif dan adil, bukan hanya satu aspek yang perlu dinilai. Selain aspek logos, aspek-aspek lain seperti retorik, sebutan dan intonasi serta bahasa badan perlu juga diambil kira.

Yang tidak kurang penting ialah, bagaimana pendebat menangkis hujah lawan dan mengukuhkan hujahnya sendiri.

Sebab, debat ialah kegiatan yang dilakukan untuk menguji argumentasi yang diberikan antara individu ataupun kelompok. Debat ialah pembahasan dan pertukaran pendapat mengenai suatu isu atau topik dengan pendebat saling memberi alasan atau hujah untuk mempertahankan pendirian masing-masing.

Jadi, adakah hujah dan hujah balas Anwar lebih kukuh dan lebih meyakinkan berbanding Najib? Siapa yang lebih pintar dan hebat menangkis hujah lawan? Adakah Najib yang lebih hebat dalam mengemukakan hujah dan wacana tandingan dengan data, fakta dan maklumat yang lebih sahih, kukuh dan konkrit?

Dari satu segi, debat dapat membantu mengukuhkan ethos pendebat. Maksudnya, kewibawaan, imej dan reputasi pendebat, mahu tidak mahu, turut dipertaruhkan ketika berdebat.

Memang, rakyat dan khalayak sudah mempunyai tanggapan tertentu terhadap kedua-dua pendebat. Sebagai tokoh pemimpin politik yang pernah menjawat jawatan penting pemerintahan, ethos mereka tidak diragui lagi. Namun, ethos siapa yang semakin melonjak selepas debat berakhir, dan ethos atau wibawa siapa pula terpukul dan tercalar?

Dalam debat, berlaku pertentangan duaan dan pendirian yang saling berlawanan. Pendirian yang diambil perlu berpaksikan logos atau dalil yang sahih bersandarkan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran pendebat.

Lazimnya, sebelum turun ke gelanggang, pendebat atau pembantu mereka akan melakukan penyelidikan untuk mendapatkan dalil yang sesuai bagi mempertahankan pendirian.

Najib mempunyai hujah mengapa kerajaan perlu menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan itu yang akhirnya menurut beliau akan menguntungkan rakyat. Manakala Anwar pula tidak bersetuju syarikat itu diselamatkan, sebaliknya perlu dilakukan audit forensik terlebih dahulu sehingga istilah itu digunakannya sebanyak tujuh kali.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, syarikat GLC perlu mempunyai rancangan jangka panjang yang mampu meleraikan masalah yang bakal dihadapi, dan bukannya menyerahkan kepada kerajaan untuk menyelesaikannya. “Tak boleh apabila ada masalah, hempapkan kepada kerajaan untuk selesaikannya. Kena ada kesediaan untuk bawa perubahan,” kata Anwar.

Dari segi logos atau dalil, amat penting bagi pendebat untuk membuat penyelidikan yang meluas dan mendalam. Hanya dengan itu, mereka dapat mengemukakan pendapat dengan lebih meyakinkan. Yang lebih penting ialah mampu menangkis hujah lawan dengan data, fakta dan dalil yang relevan dan konkrit.

Tiada ruang untuk omong kosong atau merapu ketika berdebat kerana tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan wibawa kerana dia nampak seolah-olah tidak bersedia atau tidak menguasai topik perbahasan.

Wacana tandingan atau hujah balas yang baik hanya mampu dibentangkan dengan pemahaman yang mendalam terhadap isu yang dibahaskan, selain keupayaan menanggapi hujah lawan dengan baik. Hal ini menuntut penguasaan korpus ilmu isu berkenaan dengan cemerlang. Justeru, siapakah yang lebih baik dalam menangkis hujah lawan? Adakah Najib atau Anwar?

Memang, dalam mana-mana debat, terdapat dua sudut pandang, pro dan kontra. Dalam debat terdapat proses saling mempertahankan pendapat, hujah dan pendirian, serta argumentasi bagi memastikan kemenangan. Biasanya hasil debat diperoleh melalui keputusan juri atau hakim.

Persoalannya, adakah debat umum itu berjaya mencapai objektifnya? Setidak-tidaknya, bagi khalayak yang menyaksikan debat itu secara langsung, mereka telah dapat memahami isu yang dibahaskan itu dengan lebih baik.

Selepas mengikuti debat lebih sejam itu sepenuhnya, mereka tentu dapat membuat rumusan, wajar atau tidak Sapura Energy Bhd. yang rugi lebih RM8 bilion itu diselamatkan oleh kerajaan melalui Petronas atau pinjaman bank yang dijamin kerajaan seperti dianjurkan oleh Najib? Khalayak juga pasti dapat membuat penilaian siapa yang lebih meyakinkan dalam pembentangan hujah.

Debat ialah sesuatu yang biasa diamalkan di negara maju termasuk di Amerika Syarikat sebelum pemilihan presiden dilakukan. Debat klasik yang paling diingati sehingga kini adalah antara John F. Kennedy dengan Richard Nixon pada 1960.

Debat bersejarah itu dikendalikan oleh Howard K. Smith sebagai moderator, manakala Sander Vanocur, Charles Warren, Stuart Novins dan Bom Fleming sebagai ahli panel. Format debat berkenaan ialah, lapan minit pernyataan pembukaan, dua minit setengah respons kepada soalan, menangkis hujah, dan tiga minit pernyataan penutup. Debat ini telah banyak dikaji oleh ahli akademik dan pakar komunikasi politik dari pelbagai segi termasuk retorik dan bahasa badan.

Lebih daripada setengah pengundi telah dipengaruhi oleh debat berkenaan. Yang menarik, mereka yang mendengar debat itu melalui radio berpendapat Nixon memenanginya, manakala mereka yang menonton televisyen berpendirian Kennedy mengungguli. Ini tentu ada kaitan dengan aspek penampilan dan ethos, selain bahasa badan dan suara, termasuk intonasi.

Siri debat sudah menjadi tradisi menjelang pemilihan Presiden Amerika Syarikat. Sekali gus platform tersebut menjadi medan terbaik untuk penyandang dan pencabarnya mengemukakan dasar dan pendirian jika memerintah. Rakyat juga berpeluang membuat penilaian sendiri calon yang bakal dipilih untuk mentadbir negara bagi tempoh empat tahun lagi.

Dalam siri debat pertama Donald Trump dengan Joe Biden pada 2020, program debat itu telah ditonton 29 juta orang. Debat sedemikian akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai siapa yang mampu mengemukakan gagasan yang lebih baik jika mereka memimpin negara?

Debat harus digalakkan di negara ini. Perbezaan pendapat perlu diraikan. Hanya dengan adanya debat yang profesional, tanpa dikuasai emosi dan serangan peribadi, kita akan dapat meraih manfaatnya. Pemikiran terbaik dan cadangan terbaik dapat diperoleh daripada debat yang matang.

Sesungguhnya, debat dalam kalangan pemimpin politik dapat membantu melahirkan politik matang di negara ini. Maksudnya, budaya politik sihat dapat diketengahkan di pentas perdebatan. Perdebatan sihat akan dapat melatih pemimpin politik untuk tidak melakukan serangan peribadi dan mengemukakan idea dan hujah yang remeh-temeh.

Untuk meyakinkan rakyat, mereka perlu berfikiran matang, kritis dan analitis. Pemikiran sedemikian perlu diasah dan diasuh melalui latihan, termasuk kesediaan untuk banyak membaca, berbincang dan berdebat. Kita ingin menyaksikan debat yang rasional dan profesional.

Kita rindu akan debat sedemikian di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara. Yang kita banyak saksikan di Parlimen ialah serangan peribadi dan debat emosional.

Malah, bukan mengejutkan, sebelum ini kita pernah menyaksikan ahli parlimen kita menjerit dan menggunakan label yang negatif terhadap lawan apabila mereka gagal mengemukakan hujah yang bernas. Ini sesuatu yang malang dan memalukan.

Justeru, wakil rakyat kita perlu belajar untuk berdebat secara matang dan profesional demi kebaikan mereka dan rakyat yang diwakili.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru