Monday, May 16, 2022

Rondaan sukarela cegah jenayah diteruskan

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Lee Ling di sini, meneruskan rutin rondaan cegah jenayah selepas beberapa hari berehat berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua SRS Taman Lee Ling Abdul Razak Madihi berkata, walaupun jumlah ahli yang hadir tidak ramai, namun mereka tetap meneruskan rondaan bagi memastikan persekitaran taman perumahan berkenaan selamat.

“Ramai dalam kalangan ahli masih berada di kampung untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri. Jadi, kita teruskan rondaan dengan ahli yang masih bercuti dan berkelapangan sahaja,” katanya.

Menurutnya, seperti biasa pihaknya mengadakan rondaan ke setiap lorong taman perumahan bagi memastikan tiada kegiatan yang mencurigakan.

“Kami bersyukur kerana kekerapan rondaan yang kami buat termasuk pada bulan Ramadan menunjukkan bahawa penduduk ambil peduli dengan keselamatan taman perumahan kami,” tambahnya.

Jelasnya lagi, pihaknya kini masih mengalu-alukan penduduk di taman berkenaan untuk menyertai SRS Taman Lee Ling.

“Kami mengalu-alukan penduduk untuk menyertai kami yang akan memastikan kita dapat mengadakan rondaan lebih kerap berbanding seminggu sekali sekarang,” jelasnya.

Abdul Razak memberitahu, dalam rondaan malam Jumaat, ahli SRS turut mengunjungi beberapa rumah penduduk sempena Hari Raya Adilfitri.

“Sambil membuat rondaan kami turut mengadakan kunjungan raya ke rumah penduduk, sambil bertanya khabar dan berbincang tentang keselamatan taman perumahan kami,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru