Sunday, May 29, 2022

Rabiah Wang kekal jawatan

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang terus mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Batu Lintang tanpa bertanding.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan cawangan tersebut atas mandat serta kepercayaan yang diberikan untuk beliau terus menerajui PBB DUN N11 Batu Lintang.

“Alhamdullilah bersyukur sejak menjadi ketua cawangan PBB Cawangan Batu Lintang tetap mantap.

“Walaupun cawangannya kecil tapi komitmen, kerjasama, kreativiti, kebertanggungjawaban ahli amat dihargai dan berharap ia akan diteruskan oleh Ahli Jawatankuasa yang baharu,” tegas beliau.

“PBB satu-satunya parti kukuh dan berperanan besar di dalam memberi khidmat pada masyarakat. Sebagai sebuah parti tonggak dari dulu sehingga kini di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita perlu pimpinan yang lebih mantap dan mempunyai komitmen yang jitu beserta semangat dan kekuatan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar semua ahli yang hadir agar terus berjuang untuk memantapkan lagi kekuatan cawangan parti di kawasan Batu Lintang.

“Kita perlu bersatu padu dalam usaha yang harmoni, saling membantu dalam memperkasakan PBB supaya kita tetap relevan buat masa akan datang,’’ tegasnya.

Dalam pada itu beliau turut berharap agar pimpinan lama mahapun baharu dapat bekerja dengan lebih giat untuk merencanakan aktiviti yang bersesuaian dan juga berkesan di dalam menjaga hubungan antara ahli parti dan masyarakat.

Mesyuarat tri-tahunan itu juga menyaksikan pemilihan Datuk Mohamad Safri Abdillah sebagai Timbalan Ketua Cawangan PBB Batu Lintang yang juga turut menang tanpa bertanding.

Turut terpilih tanpa bertanding adalah Ketua Pemuda Cawangan, Mohd Nizam Maulana Mohd Zaini dan naibnya Awang Mahadil Datuk Awang Bujang serta tujuh ahli jawatankuasa yang juga menang tanpa bertanding.

Manakala Ketua Wanita Cawangan Lolita Aman turut menang tanpa bertanding dan bersama timbalannya Kalimah Aman beserta 16 ahli jawatankuasa yang dipilih dan dilantik.

Seramai 80 perwakilan dan pemerhati dari lima ranting di bawah PBB DUN Batu Lintang telah menghadiri mesyuarat tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru