Friday, July 1, 2022

Pemandu, pemilik Proton Wira lawan arus diburu polis

Secara Rawak

KUCHING: Kes viral membabitkan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu secara berlawan arus di simpang lampu isyarat Pending berhampiran klinik kesihatan Tanah Putih kini dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan kes viral tersebut.

Susulan itu katanya, polis kini giat mengesan pemandu dan pemilik kepada kenderaan jenis Proton Wira terbabit bagi membantu siasatan lanjut kes.

“Dalam kejadian ini memaparkan pemandu kenderaan jenis Proton Wira melawan arus jalan berhampiran klinik Tanah Puteh sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Pihak polis sedang mengesan pemandu dan pemilik kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian dan kenderaan terbabit untuk melaporkan kepada pihak polis.

“Sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Insp Angelina Henry Winner di talian 013-5670223,” katanya.

Ujar Ahsmon, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan dengan cara yang merbahaya kepada orang awam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru