KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut susulan kejadian laku musnah dengan sengaja di kolam air pancutan di Tebingan Sungai Kuching, pada malam 12 Mei lalu.
Menurut kenyataan DBKU, insiden tersebut juga telah mengakibarkan air kolam menjadi berbuih dan boleh menyebabkan kerosakan kepada peralatan kolam air pancutan tersebut.
“Justeru, tindakan pelaku yang disyaki telah dirakam melalui kamera pengawasan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, DBKU juga menasihatkan agar pihak awam tidak melibatkan diri dalam aktiviti laku musnah harta benda awam.
“Pihak DBKU tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya,” ujarnya.