Monday, May 16, 2022

Kaji masalah hakisan pantai

Secara Rawak

BEKENU: Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPS) perlu mengkaji secara keseluruhan permasalahan hakisan pantai dan sungai di kawasan Bekenu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus berkata, masalah tersebut perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan kesan terhadap persekitaran.

“Antaranya masalah hakisan pantai terutama di Pantai Tusan yang merupakan salah satu pusat pelancongan yang berlaku dengan sangat cepat dan tindakan perlu diambil segera.

“Hakisan ini perlu diberi perhatian serius kerana bimbang kesannya kepada bangunan sedia ada,” katanya. Adun Bekenu itu berkata demikian selepas melakukan lawatan ke kawasan berisiko banjir kilat dan hakisan pantai di kawasan terbabit.

Antara kawasan yang dilawati adalah Kampung Menjelin, Kampung Angus Ria, Pantai Tusan, Pantai Bungai, Kampung Kayu Kapor dan Kampung Jenggalas.

“Selain itu, hakisan pantai turut berlaku di Pantai Bungai dan Pantai Kuala Sibuti. “Kawasan ini adalah kawasan penempatan dan pelancongan. Hakisan berlaku dengan cepat dan ia menjejaskan kawasan halaman rumah yang dilanda air,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau turut menambah, kawasan di beberapa kampung yang kerap banjir juga dikesan mengalami masalah sistem perparitan dan laluan air keluar. “Saya berharap pihak DID dapat memikirkan dan mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan berlaku banjir kilat dan takungan air,” ujarnya.

Pengarah JPS Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Jurutera Bahagian JPS Bahagian Miri Hiew Si Tien; Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Subis Dr. James Jam Jolly dan wakil Majlis Daerah Subis turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru