Friday, July 1, 2022

Jadi kawasan selesa didiami

Secara Rawak

SIBU: Kerjasama orang ramai sangat diperlukan untuk membangunkan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Assek.

Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata, kawasan itu amat jauh ketinggalan serta memerlukan pelan rancangan pembangunan semula yang teratur pada masa akan datang.

Menurutnya, kawasan Dun Bukit Assek sudah 15 tahun diwakili oleh parti bukan kerajaan yang menyebabkan kesukarannya untuk berkembang.

“Selama 15 tahun ini, kita menanti-nantikan seorang wakil rakyat daripada parti kita (SUPP) untuk berkhidmat di kawasan ini.

“Akhirnya, pada malam 18 Disember 2021 hasrat kita termakbul. Maka dengan peluang yang diberikan ini, saya akan berusaha sedaya upaya berkhidmat untuk anda semua seterusnya membangunkan Bukit Assek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada sambutan PraGawai Dayak 2022 Kawasan Sentosa anjuran Pusat Khidmat N.51 Bukit Assek di sini.

Chieng memaklumkan bahawa banyak usaha baik pulih dan pembinaan yang perlu dilaksanakan di kawasan Dun Bukit Assek bagi meningkatkan keceriaan den kualiti hidup rakyat di kawasannya.

Oleh yang demikian beliau memerlukan kerjasama erat dan padu daripada rakyat bagi melancarkan pembangunan yang hendak dilaksanakannya kelak.

“Bersama-sama kita berganding bahu menjadikan kawasan ini sebuah kawasan yang selesa dan selamat untuk didiami,” tegas beliau.

Chieng yang juga Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh penduduk kawasan Sentosa kepadanya pada pilihan raya lalu.

Beliau memaklumkan akan melaksanakan program baik pulih rumah seperti yang dicadangkannya semasa kempen pilihan raya lepas.

Ujarnya, setiap orang mengimpikan sebuah kawasan yang selesa dan selamat untuk didiami bersama-sama ahli keluarga mereka.

“Bagi memastikan mereka yang tidak mampu memiliki rumah sendiri untuk lebih selesa dan selamat, rakyat Sarawak khususnya boleh memohon Bantuan Baik Pulih Rumah Sarawak di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB),” kata beliau. Chieng memberitahu, program atau penggantian bumbung siling, dinding, lantai, tingkap, pintu, pagar, tangga dan tandas dengan maksimum kos pembaikan bagi setiap rumah sejumlah RM15,000.

Tambahnya, program tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat iaitu dengan membaiki rumah yang dalam keadaan daif.

“Saya merupakan seorang yang mudah untuk didampingi dan boleh berbudi bicara.

“Sekiranya anda mempunyai cadangan atau aduan, datang jumpa saya khususnya kepada mereka di kawasan Sentosa ini yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai PPKB atau memohonnya.

“Saya sedia berkhidmat untuk membantu anda mendapatkannya,” ujar beliau.

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian, hiburan, ngajat, cabutan bertuah dan sebagainya. Lebih 100 penduduk kawasan Sentosa hadir pada majlis tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru