Friday, July 1, 2022

Capaian telekomunikasi dan internet kurang memuaskan diselesaikan segera

Secara Rawak

PADAWAN: Masalah liputan telekomunikasi dan jaringan internet yang kurang memuaskan di Dun Mambong walaupun telah dibina menara akan diselesaikan segera.

Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil berkata perkara itu mendapat perhatian Kerajaan Sarawak untuk tindakan selanjutnya untuk membolehkan syarikat telekomunikasi memasang piring satelit pada menara tersebut.

Jelasnya, ketiadaan nilai komersial yang dihadapi oleh syarikat telekomunikasi antara sebab beberapa syarikat tidak berhasrat memasang piring satelit pada menara telekomunikasi.

“Kesemua ini disebabkan oleh nilai komersial kerana syarikat telekomunikasi ini tidak berkenan untuk memasang piring satelit kerana tiada pulangan pelaburan.

“Kerajaan Sarawak menyedari kesemua masalah ini dan ia akan diselesaikan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan taklimat isu-isu semasa Jabatan Penerangan Malaysia di Pejabat Kecil Daerah Padawan, di sini pada Sabtu.

Sementara, Jerip yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan I berkata, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenal pasti syarikat untuk membina menara telekomunikasi dikawasan yang tidak mempunyai capaian yang memuaskan.

Katanya, pembinaan menara telekomunikasi tersebut akan menumpukan kawasan pedalaman dan kampung-kampung berdekatan sempadan.

“Menara ini akan dibina segera kerana kontrak telah dianugerahkan kepada syarikat dan kita berharap ia dipercepatkan,” ujarnya.

Bagi pemasangan jalur lebar, beliau berkata, penduduk kampung perlu membuat permohonan secara berkumpulan bagi memudahkan syarikat telekomunikasi melakukan pemasangan.

Katanya, Pejabat Kecil Daerah Padawan dan Ketua Kaum bagi kampung akan membuat penyelarasan dan memberi borang kepada mereka yang ingin memasang jalur lebar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru