Monday, May 16, 2022

Ubah nasib B40 untuk dapat pendapatan RM6,000 sebulan

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Permodenan Pertanian dan Pembangunan Sarawak berharap Sarawak akan mencapai tahap sara diri (SSL) berada pada sekitar 60 peratus menjelang 2030.

Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia sekali gus membantu mencapai hasrat kerajaan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan golongan berpendapatan rendah (B40) sebanyak RM6,000 sebulan.

“Di Semenanjung Malaysia, ia (SSL) sudah mencapai sekitar 75 peratus. Justeru, kita (Sarawak) tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan makanan import dari negara luar.

“Dalam masa sama, terpaksa mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan tahap SSL ini kerana ia penting untuk keselamatan makanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mantar Aco Lepa Ajau Birami Gawai di RTM Sarawak, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan petani untuk mengambil langkah dalam mentransfromasikan perladangan dan pertanian sara diri mereka ke arah keusahawanan.

Katanya, sektor pertanian merupakan salah satu sektor pembangunan strategik negeri pasca-Covid-19, untuk melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Kementerian mahu membantu golongan ini meningkatkan produktiviti dan pendapatan secara serentak.

“Saya percaya satu-satunya cara untuk mencapai hasrat itu ialah agar petani menceburi teknologi baharu seperti pertanian pintar dan Internet Kebendaan (IoT),” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Rundi yang juga Adun Kemena menggesa sektor swasta untuk berkecimpung dalam bidang ini bagi membantu Kerajaan Sarawak memodenkan petani dan penternak di negeri ini.

Bagi tujuan itu katanya, sektor swasta akan mendidik semua pekebun, mengajar mereka dan memastikan mereka memenuhi kualiti dan sebagainya, sekali gus mengeksport produk yang dikeluarkan mereka.

Sementara itu, Rundi mendedahkan bahawa kementerian juga komited membantu golongan petani ini merangkumi pembiayaan, infrastruktur, sistem saliran air dan telekomunikasi.

Bagaimanapun katanya, kementerian mahu melaksanakan insentif keluaran berdasarkan prestasi bagi menggantikan bantuan dan subsidi untuk meningkatkan hasil pertanian lestari.

Ujarnya, beliau berharap pertanian akan menjadi teras strategi kerajaan pasca-Covid-19 menjelang akhir 2030, dan menjadi pengeksport makanan bersih.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru