Monday, May 16, 2022

Tingkatkan kemahiran petani

Secara Rawak

KANOWIT: Pejabat Pertanian Daerah Kanowit digesa untuk memperbanyakkan lagi program pembangunan pertanian di kawasan Dun Ngemah.

Adun Ngemah Anyi Jana berkata, ini bagi membantu meningkatkan produktiviti serta kemahiran golongan petani dalam usaha melonjakkan ekonomi mereka.

Selain itu, beliau juga mahu supaya latihan dan bengkel yang bersesuaian perlu dilaksanakan bagi keperluan para petani di kawasan Dun Ngemah.

“Pejabat Pertanian juga perlu memberi penekanan kepada beberapa isu seperti jenis bantuan yang ada disediakan oleh pejabatnya dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kanowit dan jenis tanaman yang sesuai serta wajar diberi perhatian bagi kawasan Dun Ngemah,” katanya ketika kunjungan hormat ke Pejabat Pertanian Daerah Kanowit.

Semasa kunjungan tersebut, beliau telah diberikan taklimat mengenai isu-isu pertanian dan isu yang melibatkan PPK Kanowit khasnya bagi kawasan Dun Ngemah.

Anyi turut menerangkan tentang bajet bagi aktiviti pertanian yang boleh dipohon daripada Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) untuk dilaksanakan di kawasan Dun Ngemah.

Beliau juga mahukan pelaksanaan program turun padang secara lebih kerap antara pusat khidmatnya dengan Jabatan Pertanian Daerah Kanowit ke kawasan Dun Ngemah.

Pegawai Pertanian Bahagian Sibu Badin Unor, Pegawai Pertanian Daerah Kanowit Nicholas Jati, Pengurus Besar PPK Kanowit Mohd Taufik dan Pengerusi PPK Kanowit Tuai Rumah Sandai Rawing turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru