Monday, May 16, 2022

Sedia perkhidmatan feri sendiri di Batang Igan

Secara Rawak

DEBAK: Syarikat ladang kelapa sawit dicadang menyediakan perkhidmatan feri sendiri di Batang Igan khusus bagi mengangkut lori yang membawa muatan kelapa sawit, yang didapati semakin bertambah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya memberitahu, pendekatan ini diyakini mewujudkan situasi menang-menang termasuk menyelesaikan pelbagai kesulitan yang diadu penduduk setempat.

“Feri Batang Igan merupakan satu-satunya feri yang beroperasi sekitar 4 pagi, namun sehingga tengah hari lori milik syarikat kelapa sawit ini masih bersusun menunggu giliran, ini menunjukkan betapa banyaknya lori tersebut.

“Justeru, saya gembira sekiranya Jabatan Kerja Raya (JKR) bersetuju mencadangkan kepada pihak kerajaan agar lori kelapa sawit milik syarikat besar ini agar menyediakan feri sendiri.

“Kita amat menyokong demi kepentingan bersama.

“Pada hemat saya syarikat yang ada, dan lebih daripada mampu untuk memiliki kemudahan feri sendiri.

“Saya faham tentang konsep mencari rezeki tetapi keselamatan harus diutamakan, peraturan harus dipatuhi dan kita mesti tahu kemudahan feri sedia ada untuk penduduk kampung, bukan kemudahan untuk syarikat kelapa sawit, mereka hanya menumpang.

“Maka, apabila kemudahan itu tidak mencukupi, pandai-pandailah syarikat menyediakan kemudahan sendiri.

“Jika di Batang Paloh pihak syarikat atau ladang kelapa sawit boleh menyediakan feri sendiri, tidak mungkin di Batang Igan yang mempunyai lima, enam syarikat besar senarai awam tidak mampu berbuat perkara sama,” katanya.

Adun Jemoreng itu berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai merasmikan Jelajah Integriti Siri 4/2022 Bahagian Betong di Pusat Sukan Riveria, kelmarin.

Jelasnya, pihak syarikat atau ladang kelapa sawit banyak menyumbang kepada ekonomi negara, kerana apabila ada feri sendiri makin lajulah pergerakan lori yang membawa muatan kelapa sawit.

“Bahkan kita berterima kasih kerana mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

“Tetapi syarikat yang mempunyai kemampuan luar biasa, buatlah feri sendiri…usah berebut dengan orang kampung.

“Pengguna feri banyak mengadu apabila berada satu feri dengan lori yang penuh muatan, berasa bimbang.

“Oleh yang demikian, jangan tunggu ada insiden buruk baru kita insaf dan atas sebab itu sebelum apa-apa berlaku kita mesti ambil tindakan,” ujarnya.

Beliau berterima kasih kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak segera memastikan peraturan dipatuhi dan undang-undang dikuatkuasakan.

Begitu juga tambahnya pihak JKR yang telah mengarahkan operator feri mematuhi peraturan penggunaan feri.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, Pengarah Unit Union Adana Jed dan Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal turut hadir sama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru