Monday, May 16, 2022

Pertandingan mencipta logo, video Saberkas

Secara Rawak

KUCHING: Mereka yang berbakat dialu-alukan menyertai Pertandingan Mencipta Logo dan Video Pendek Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) sekali gus merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM39,000.

Naib Presidennya Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pertandingan tersebut dianjurkan sempena sambutan Jubli Emas Saberkas serta meraikan 50 tahun penubuhannya pada tahun depan.

“Sepanjang tempoh tersebut, banyak program dan pencapaian telah dicapai sepanjang usia penubuhan termasuk menghasilkan ramai pemimpin di Sarawak.

“Yang paling ketara ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Saberkas, Wisma Saberkas di sini, kelmarin.

Jelasnya, objektif pertandingan adalah mencungkil bakat idea dan kreativiti dalam menghasilkan logo dan video dengan tema ‘Sambutan Jubli Emas Saberkas’.

Menurutnya, kedua-dua pertandingan itu bermula semalam (12 Mei) dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 Jun 2022 bagi logo, manakala 30 Julai 2022 bagi video pendek jam 12 tengah hari.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua yang berminat serta memenuhi syarat penyertaan yang telah ditetapkan oleh pihak urusetia pertandingan.

“Ia merupakan antara aktiviti yang akan diadakan bermula tahun ini sehingga Disember 2023 dan lebih banyak aktiviti akan diumumkan kemudian,” ujarnya.

Tambahnya, penyertaan melalui imbasan kepada kod QR yang disediakan dan diisi melalui Google Form yang telah disediakan.

“Semua maklumat berkaitan pertandingan, terkandung dalam google form berkenaan bagi memudahkan orang ramai untuk akses kepada syarat serta borang penyertaan pertandingan.

“Justeru, orang ramai serta ahli Saberkas adalah digalakkan untuk menyertai pertandingan yang julung kali diadakan ini dengan penyertaan adalah percuma,” jelasnya.

Ujarnya, jumlah hadiah yang lumayan ditawarkan itu sebagai pembakar semangat dan juga inspirasi kepada peserta dalam menghasilkan karya terbaik dan asli daripada mereka.

“Bagi pertandingan ini, kita akan menggunakan khidmat pakar profesional dari universiti tempatan serta agensi berkaitan dalam memproses setiap cadangan penyertaan sebelum dipilih sebagai pemenang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bagi pertandingan mencipta logo, juara akan memenangi RM5,000 dan sijil, manakala RM3,000 dan sijil untuk naib juara, tempat ketiga akan menerima RM1,000 beserta sijil.

“Lima pemenang sagu hati pula akan menerima RM500 setiap seorang termasuk sijil,” jelasnya. Untuk pemenang video pendek, beliau memberitahu juara akan membawa pulang RM10,000 dan sijil, naib juara bakal memenangi RM7500 dan sijil, sementara RM5000 dan sijil bagi pemenang tempat ketiga dan lima hadiah saguhati RM1,000 beserta sijil.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, hubungi urusetia dan sekretariat Saberkas di talian 082-244917 atau pergi ke Tingkat 20, Wisma Saberkas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru