Monday, May 16, 2022

Pembuli tak tahu diri ialah pembuli

Secara Rawak

Pernah tak anda dibuli dalam hidup anda? Dalam seminggu dua ini, isu buli timbul kembali, bukan sahaja dalam kalangan pelajar, tetapi juga doktor pelatih dan pekerja pada umumnya. Ini belum lagi mengambil kira buli di media sosial yang berlaku tanpa sempadan.

Mahkamah Majistret di Taiping pada 10 Mei 2022 menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 kepada seorang penganggur selepas mengaku bersalah kerana membuli remaja kurang upaya (OKU) lembam sehingga mengakibatkan kecederaan. 

Menurut pertuduhan, Mohammad Hidayat didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah lokasi di Taman Tasik Taiping.Terdahulu, suspek ditahan susulan video tular di laman sosial berdurasi 1.02 minit memaparkan seorang lelaki menampar dan membuli sehingga menangis ketakutan sambil memegang basikal. 

Akhir bulan April 2022, polis menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat untuk membantu siasatan susulan kes membuli dan membelasah seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Langkawi, pada Rabu.

Kejadian itu sebelum ini tersebar menerusi satu video tular memaparkan seorang pelajar lelaki dibelasah hampir 10 orang pelajar lain. Rakaman video tersebut juga menunjukkan pelajar tersebut dibaling dengan meja tulis di kepalanya.

 

Di Kuching pula padah kerana membuli Orang Kurang Upaya (OKU) menyebabkan seorang pekerja syarikat perkhidmatan kurier diberkas polis pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek, 24, ditangkap selepas laporan dibuat terhadapnya, susulan video kejadian buli tersebut tersebar di media sosial sejak petang semalam.

Menurutnya, dalam video tersebut, suspek dilihat menakutkan mangsa lelaki berusia 40 tahun terbabit menggunakan mercun dan objek tumpul.

Kes buli siber dengan menyerang pengguna internet sehingga ‘koyak’ menjadi isu yang semakin ketara terutamanya dalam kalangan belia.

Ya, perbuatan membuli tanpa sempadan seperti  mengancam mahupun memburukkan identiti seseorang boleh terjadi ke atas mangsa tanpa kira usia, kaum, bangsa mahupun agama.

Sesungguhnya perbuatan buli termasuk buli siber di negara ini amat membimbangkan.

Malah, Malaysia kini  dilaporkan berada di tangga kedua di Asia untuk perbuatan buli

Lebih daripada 500 panggilan diterima Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) setiap bulan.

Golongan belia ialah golongan yang kerap menjadi mangsa buli siber termasuk melalui Facebook, Instagram dan TikTok melalui telefon dan e-mel.

Antaranya ialah ugutan untuk menyebarkan video, berita palsu ataupun fitnah tentang seseorang dan penghantaran komen atau mesej yang menghina. Perkongsian mesej, video ataupun gambar lucah kepada pengguna internet lain atau ‘sexting’ berlaku.

Kita tidak boleh memandang  ringan isu buli yang membabitkan pelbagai peringkat masyarakat kita.

Sebab, jika dibiarkan ia akan mendatangkan  kesan  fizikal, emosi dan mental yang teruk kepada mangsa.

Mangsa mengalami harga diri yang rendah dan pelbagai emosi negatif termasuklah takut, kecewa, marah ataupun tertekan.

Malah, dalam kes teruk, bukan menghairankan mangsa boleh mengambil langkah drastik dengan cuba membunuh diri.

Tindakan tegas sepatutnya diambil terhadap pembuli. Mereka tidak ada hati perut dan tidak memiliki rasa empati dan simpati terhadap individu lain, sebaliknya mendapat kepuasan dan keseronokan daripada perbuatan tersebut.

Pembuli harus dididik. Kita bimbang seorang pembuli tidak sedar bahawa dia ialah p-embuli. Dia menganggap tindakan dan perbuatannya itu ialah normal. 

Justeru, pembuli perlu diberitahu bahawa dia ialah pembuli.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru