Monday, May 16, 2022

Mural ubah wajah Sibu, daya tarikan terbaharu

Secara Rawak

SIBU: Lukisan mural salah satu daya tarikan terbaharu dalam menarik pengunjung.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee berkata, di Sibu banyak bangunan komersial dihiasi dengan lukisan mural yang dilihat mengubah wajah.

“Ini kerana Sibu banyak bangunan lama-lama yang sangat sesuai dihiasi dengan lukisan mural.

“Contohnya di Jalan Ramin di sini ianya banyak dilukis oleh artis tempatan yang dikenali sebagai jagung,” katanya.

Tiang berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan lukisan mural di Stesen Minyak Shell Syarikat Sri Minyak Tenaga Sdn Bhd di Batu 9, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, Khamis.

Majlis pelancaran turut dihadiri Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai dan Pengarah Urusan Syarikat Sri Minyak Datuk William Tiu.

Tiang memberitahu lukisan mural ini membawa banyak makna daripada mesej yang disampaikan melalui lukisannya.

Ujar beliau, banyak orang tertarik dengan mesej gambar yang dilukis sehingga ia menjadi tarikan kepada orang yang lalulalang.

“Saya menggesa orang ramai atau mana-mana pihak supaya tampil membantu menjayakan lukisan mural ini.

“Kita di Sibu sangat sesuai dibangunkan dengan lukisan mural ini kerana mempunyai banyak bangunan lama khususnya di pusat bandar,” kata beliau.

Bercakap mengenai pelancaran lukisan mural pada majlis tersebut, Adun Pelawan itu memberitahu, ia adalah yang pertama di Sarawak.

“Lukisan mural ini yang pertama dibuat di stesen minyak di Sarawak.

Kita amat berterima kasih kepada Tiu atas kesudiannya membenarkan premisnya dijadikan sebagai lukisan mural ini.

“Oleh yang demikian, kita berharap orang di luar sana supaya dapat berbuat demikian untuk menyokong lukisan mural ini yang dapat dijadikan sebagai satu daya tarikan baharu,” ujar beliau.

INDAH… Tiang ketika melakukan pelancaran lukisan mural tersebut sambil disaksikan oleh Tiu (dua kiri), Sempurai (empat kanan).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru