Monday, May 16, 2022

Mana wang tunainya?

Secara Rawak

PERNAHKAH anda berasa kecewa apabila niat hendak mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) tidak tercapai kerana wang di dalam mesin tersebut habis?

Ini yang berlaku beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.

Beberapa mesin ATM khususnya di kawasan tumpuan orang awam untuk membeli-belah kehabisan wang selain beberapa mesin ATM di pinggir bandar.

Keadaan tersebut bagaimanapun tidak kritikal kerana pihak bank sentiasa menambah wang ke dalam ATM mereka.

Tetapi tidak dapat dinafikan, ada juga pengguna mengeluh kerana tidak dapat mengeluarkan duit pada waktu tersebut, sekali gus menjejaskan perancangan untuk membeli-belah.

Kehabisan wang di dalam mesin ATM pada masa itu kerana ramai orang mengeluarkan wang tunai untuk membeli-belah persiapan perayaan.

Tambahan pula banyak permohonan Pengeluaran Khas KWSP juga diluluskan maka tidak hairanlah jika semua mesin ATM diserbu.

Melihat situasi ini, sebenarnya kita boleh memilih untuk menggunakan e-dompet, kad debit atau kad kredit semasa membuat pembayaran.

Namun, hingga ke hari ini tidak semua orang menggunakan kemudahan tersebut kerana pelbagai faktor.

Mengapa? Antaranya ada peniaga hanya menerima wang tunai kerana mereka tidak menyediakan kemudahan berkenaan, pengguna tidak celik teknologi digital, dan ada yang sengaja tidak menggunakan kemudahan ini kerana ingin mengawal perbelanjaan.

Namun demikian, budaya menggunakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai semakin popular hari ini terutamanya di pusat beli-belah utama khususnya dalam kalangan generasi muda.

Golongan yang berusia juga tidak kurang hebatnya kerana mereka juga semakin arif menggunakan kemudahan itu.

Perkara ini turut diakui oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya program ePemula bernilai RM300 juta yang dilancarkan telah menyumbang kepada pembudayaan transaksi kewangan tanpa tunai dalam negara. BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet merupakan syarikat penyedia e-dompet yang mengambil bahagian bagi inisiatif ePemula.

Transaksi tanpa tunai

Dedahnya, ia dapat dilihat menerusi jumlah transaksi tanpa tunai yang meningkat sebanyak 74.4 peratus kepada 1.1 bilion pada 2021 berbanding 2020.

Katanya, peniaga serta pengguna semakin selesa menggunakan kemudahan tanpa tunai termasuk di kedai-kedai.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru