Monday, May 16, 2022

Bentangkan hasil siasatan doktor pembuli ke Parlimen

Secara Rawak

KUCHING: Hasil penemuan pasukan petugas yang menyiasat budaya kerja toksik di hospital perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi bagi meningkatkan keyakinan orang ramai.

“Ini bagi mendapatkan input dan sokongan bipartisan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dalam satu kenyataan.

Hal ini demikian, katanya, kerana isu itu membabitkan kepentingan awam yang besar dan sebaik sahaja laporan pasukan petugas itu siap dan saranan dibuat.

Semalam, Kementerian Kesihatan MalaYSIA (KKM) mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).

Persatuan kesihatan menyokong inisiatif KKM menubuhkan pasukan petugas khas itu.

Namun, kumpulan itu melalui kenyataan bersama melahirkan  kebimbangan berikutan ketiadaan wakil barisan petugas kesihatan di lapangan sendiri, mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang mewakili warga kesihatan dalam pasukan khas itu.

Yii  juga mengesyorkan  agar lebih ramai wakil terlibat dalam pasukan petugas itu, termasuk daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), terutamanya Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) yang selama ini memperjuangkan hak doktor muda.

Katanya, wakil daripada Malaysian Medics International juga perlu dibenarkan menyertai pasukan petugas itu.

Isu berkaitan buli dalam kalangan doktor pelatih hangat diperkatakan.

Difahamkan isu buli turut membabitkan hospital awam di Sarawak dan doktor pembuli terbabit diketahui oleh kalangan doktor pelatih.

Mereka mahu tindakan tegas diambil terhadap doktor pembuli itu sehingga menyaksikan ada doktor pelatih yang mengalami tekanan emosi dan mental sehingga meletak jawatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru