Monday, May 16, 2022

Sentuh anu kanak-kanak 4 tahun: Penjaga kedai dipenjara 6 tahun

Secara Rawak

LYDIA AMAN

KUCHING: Seorang penjaga kedai dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat keputusan selepas tertuduh, 65, di dapati bersalah mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dua bulan.

Dia melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah kedai runcit di Kampung Asum, kira-kira jam 6.00 petang, 10 Ogos 2020.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes, mangsa bersama neneknya membeli barang keperluan di sebuah kedai.

Semasa nenek mangsa berada di luar kedai. Kanak-kanak terbabit masuk ke dalam kedai untuk membeli makanan ringan.

Selepas kanak-kanak itu membayar dan menerima baki bayaran, tertuduh yang merupakan penjaga kedai menjilat tangannya lalu memasukkan ke dalam seluar mangsa dan menekan kemaluan mangsa.

Pada hari kejadian, hanya nenek, kanak-kanak tersebut dan tertuduh berada di dalam kedai berkenaan.

Difahamkan, kejadian terbabit terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian terkutuk itu kepada ibunya.

Pengadu kemudian, membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk diperiksa oleh pakar Obstretrik dan Genikologi namun tiada mengalami sebarang kecederaan.

Sebelum dijatuhkan hukuman, peguam bela Roland Thomas yang mewakili tertuduh memohon agar tertuduh diringankan hukuman kerana mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit darah tinggi, kolestrol, pleural tuberculosis dan hyperglycaemia.

Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali menggesa agar mahkamah mempertimbangkan perbezaan usia tertuduh dan mangsa.

Tertuduh yang berusia 65 tahun telah mempunyai kematangan untuk membezakan perkara betul dan salah sebelum melakukan kesalahan.

Selain itu, Danial menegaskan bahawa kes seksual seperti itu sering dilaporkan oleh pihak media.

Sementara itu, permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi turut ditolak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru