OSLO (NORWAY): Dana Berdaulat Norway akan dijadikan piawai yang digunakan oleh Sarawak untuk dijadikan sebagai penanda arasnya apabila membentuk dana sedemiian di negeri ini nanti.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kejayaan Dana Kekayaan Berdaulat Norway diiktiraf secara meluas oleh dunia.
Dana itu telah diuruskan dengan standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996.
Abang Johari berkata demikian dalam ucapan balasnya ketika pertemuan bersama kementerian dan pegawai Pengurusan Pelaburan Bank Norges di ibu pejabat bank itu di sini pada Khamis.
Beliau berkata Norway dan Sarawak mempunyai sifat yang sama; kedua-duanya sama besar, penduduk berselerak serta mempunyai sumber asli yang banyak, terutamanya minyak dan gas, selain kuasa hidro.
Premier berkata memandangkan Sarawak mengembangkan pemikiran tentang mewujudkan Dana Berdaulat, kerajaan telah menanda aras banyak dana serupa di seluruh dunia.
“Memandangkan banyak persamaan antara Sarawak dengan Norway, Sarawak amat berminat dengan apa-apa yang boleh dipelajari dari Norway, memandangkan ia mempunyai pengalaman sekitar 25 tahun dalam membangunkan dana itu,” katanya.
“Sangat menarik minat Sarawak, anda mempunyai Dana Kekayaan global terbesar, terbilang dengan amalan tadbir urus yang baik dengan dasar yang jelas dalam pengurusan dana,” katanya kepada kementerian Norway dan pegawai bank yang hadir.