Thursday, May 26, 2022

Peluang angkat produk tempatan

Secara Rawak

KUCHING: Buat julung kalinya, program Inkubator Gastronomi Sarawak (Sago) dilancarkan semalam, bertujuan mempromosikan makanan tempatan sekali gus membantu usahawan mengembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi.

Usaha itu dibuat sejajar kejayaan bandar raya Kuching melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi satu-satunya bandar di Malaysia yang diangkat dalam Rangkaian Bandar Kreatif Unesco di bawah kategori gastronomi.

Dianjurkan oleh The Hills Kuching, WAT Sarawak dan Retrospective Discovery LLP, program selama 11 minggu itu bakal melengkapkan usahawan makanan dengan kemahiran, kepintaran perniagaan dan pembangunan pasaran dalam bidang tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Operasi The Hills Lionel Ho sepanjang tempoh kursus tersebut, pengusaha makanan akan menerima bimbingan, kelas induk, bengkel, latihan praktikal dan kemahiran inovasi, lawatan ke pasaran tempatan dan juga pembangunan kemahiran perniagaan melalui ujian dan pengesahan produk.

“Sebaik sahaja peserta menamatkan kursus selama 11 minggu ini, mereka akan menerima Sijil Pengendali Makanan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pada masa sama mendapat akses untuk bekerja di The Grounds, dapur komersial dan ruang untuk menjual makanan serta akses kepada makanan dan ramuan import tertentu oleh Supreme Coldstorage,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Inkubator Gastronomi Sarawak (Sago), di The Hills Kuching, di sini, semalam.

Tambahnya, program tersebut bertujuan untuk memupuk generasi baharu usahawan makanan dalam membantu mereka mengembangkan perusahaan sekali gus menguasai bidang ekonomi digital.

Mengambil contoh semasa lawatannya ke Itali, Lionel mendapati sebuah restoran terkenal yang menyajikan pasta dengan menggunakan lada hitam dari Sarawak yang menurut chefnya merupakan salah satu lada terbaik yang pernah digunakan.

“Ini bermaksud, dengan hanya mengetengahkan produk tersebut dan juga makanan popular, laksa Sarawak telah membawakan negeri ini ke banyak bahagian di dunia. “Kita hanya memerlukan sedikit dorongan mengenai pemasaran dan memberitahu dunia apa yang dapat ditawarkan,” jelasnya.

Ujarnya, ia juga merupakan sebab utama pihaknya melaksanakan program tersebut kerana mahu memastikan pengusaha makanan di Sarawak bersedia untuk menerima pelancong yang tiba di negeri ini.

“Dalam pada itu, kita yakin usaha sebegini mampu membantu merangsangkan ekonomi masyarakat tempatan kerana purata sekitar satu pertiga rakyat Malaysia menghabiskan pendapatan bulanan ke atas makanan.

“Ia juga mampu diyakini mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” tegasnya. Sementara pada sidang media, Lionel memberitahu, program tersebut merupakan permulaan dengan menyasarkan seramai 50 peserta yang kemudiannya akah mengambil hanya 10 peserta terbaik untuk menyertai kursus selama 11 minggu itu.

“Dari situ, dua atau tiga perusahaan makanan paling kreatif serta inovatif akan menerima ruang komersial mereka tanpa bayaran sewa selama tiga bulan untuk mengembangkan lagi perniagaan pada akhir program,” katanya.

Sementara itu, peserta akan berpeluang, menimba ilmu serta pengalaman dengan pakar berpengalaman termasuk Chef Achang Libat, Datin Dona DruryWee dari Warisan Budaya dan Persatuan Seni Sarawak, Cliff Chong dari Big Coconut Western, Amin Azninzan dari Kedey Kamek, Jasbir Kaur dari Masterchef Asia, Lee Swee Lin dari PichaEats, Alan Soo dari Alfresco Kuching dan Marichelle Livan Lah dari Restoran Lepau.

Program tersebut berlangsung akhir Mei hingga awal Ogos. Permohonan masih dibuka dan akan ditutup pada 16 Mei dengan melayari laman web mereka di https://sagoinc.my/ untuk maklumat lanjut.

Yuran penyertaan adalah percuma. Antara kriteria penyertaan pengusaha makanan mestilah berumur 18 tahun ke atas, mesti sekurang-kurangnya enam bulan menjalankan perniagaan makanan, bersedia memberi komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh program, boleh berpangkalan di Kuching semasa program, produk makanan menggunakan ramuan asli atau hidangan unik Sarawak dan bersemangat untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Turut hadir ialah rakan kongsi pengurusan Retrospective Discovery LLC Arif Abdul Rahman.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru