Sunday, May 29, 2022

Lapor kes dadah, judi di kampung

Secara Rawak

MALUDAM: Buang sikap lihat dan diam, diam dan ‘tandah’ dalam membendung dua masalah utama yang berlaku di banyak kampung ketika ini, melibatan penyalahgunaan dadah dan judi dalam talian.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya menegaskan, barisan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) terutamanya harus menjadi individu pertama yang melaporkan salah laku di tempat masing-masing.

“Dua isu sosial sangat dibimbangi ialah penyalahgunaan dadah dan judi dalam talian kerana paling menyedihkan mereka yang berusia pun terlibat. “Justeru, selepas ini saya menagih komitmen KMKK khususnya jika ada maklumat sila laporkan salah laku sedemikian.

“Anggaplah semua kita bertanggungjawab kerana kami yang (di atas) tidak mungkin dapat melihat semua. “Maka, amat penting buang sikap lihat dan diam, diam dan tandah…iboh ditandah ajak.

Sebaliknya, laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Jelajah Integriti Siri 4/2022 Bahagian Betong di Masjid Darul Mualimin Maludam, pada Rabu.

Jelasnya, Jelajah Integriti oleh Unit Integriti dan Ombudsman (Union) boleh disifatkan sebagai inisiatif ke depan untuk mendedahkan kepada KMKK tentang integriti dan ombudsman.

“Melalui randau ombudsman misalnya KMKK didedahkan dengan saluran yang tepat untuk mengetengahkan sesuatu isu supaya dapat diselesaikan…tentang bidang kuasa. “Dalam masa yang sama, menjadi platform kepada agensi-agensi  kerajaan mengetahui apa yang dihadapi penduduk.

“Hal ini kita menyedari ada sesetangah tempat, nilai integriti tidak dijaga terutama melibatkan projek kerajaan. “Apa yang ingin kita tekankan, jika ada salah laku atau perkara yang tidak kena…laporkan! “Insya-Allah, Union akan siasat dan harus difahami tindakan kita bukan bertujuan menghukum tetapi memperbetulkan keadaan demi memastikan peraturan atau SOP kerajaan dipatuhi,” ujarnya.

Juanda menyatakan, maju daripada aspek fizikal sahaja tidak cukup. “Sikap masyarakat perlu maju seiring, begitu juga pemikiran. Atas sebab itu, Union turun padang untuk menyampaikan mesej integriti dan ombudsman yang harus dimiliki oleh semua ahli masyarakat,” tambahnya.

Terdahulu diadakan ceramah integriti oleh Wan Mohamad Wan Drahman dan pengurusan aduan Ombudsman Perkhidmatan Awam Sarawak oleh Nurul Natasha Nasaruddin, masing-masing daripada Union Jabatan Premier Sarawak. Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Pengarah Unit Union Adana Jed dan Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi turut hadir sama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru