Sunday, May 29, 2022

Dokumen tamat tempoh, bot tunda serta tongkang ditahan

Secara Rawak

KUCHING: Sebuah bot tunda berserta tongkang beroperasi menggunakan dokumen tamat tempoh ditahan di perairan Tanjung Po, di sini semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 10 malam pada jarak lima batu nautika dari Tanjung Po ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op Permai.

Katanya, enam lelaki iaitu kru termasuk nakhoda turut ditahan berumur antara 22 tahun hingga 67 tahun terdiri dari dua warga tempatan yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap manakala empat warga India disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Bot tunda serta tongkang dengan muatan pasir dianggarkan satu tan metrik tersebut dikesan kira-kira jam 9.50 malam pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari aset Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tunda tersebut disyaki beroperasi menggunakan dokumen lesen vesel yang telah tamat tempoh dan tidak memiliki sebarang dokumen Port Clearance ketika diperiksa oleh penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua kru, bot tunda serta tongkang dengan muatan pasir diiring ke Jeti Maritim Malaysia, Muara Tebas untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana mempamerkan lesen vesel yang tamat tempoh ketika diperiksa.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana tidak memiliki dokumen Port Clearance dan Akta Imigresen 1959/63 kerana keempat-empat kru warga asing disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan ketika diperiksa penguat kuasa.

Dalam pada itu beliau mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru