Sunday, May 29, 2022

Cipta strategi pelancongan digital

Secara Rawak

KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengetengahkan platform pengurusan data dalam talian iaitu STB InTel sebagai langkah ke arah pelancongan pintar selaras dengan agenda transformasi digital Kerajaan Sarawak.

Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, platform perkongsian data tersebut membantu mewujudkan kesepaduan perkongsian awam dan swasta di samping usaha mencipta strategi lebih terperinci serta membangunkan produk disasarkan.

“Selain menjana kecerdasan pemasaran melalui STB Intel, sesi penglibatan juga akan diadakan dengan kerap untuk membolehkan pihak berkepentingan dan pemain industri memberi maklum balas STB tentang data yang perlu digabungkan dan menambah baik kebolehgunaan serta keberkesanan papan pemuka data ini.

“Dengan industri pelancongan semakin didorong data dan inovasi, kami berharap ia dapat menangani cabaran pelancongan semasa, mengenal pasti pasaran pelancongan yang berpotensi dan mewujudkan amalan yang lebih mampan,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran STB InTel dan platform e-Pembelajaran dengan Lotus Voyager Group (LVG) di Bangunan Baitulmakmur 2 dekat sini, semalam.

Terdahulu, STB InTel juga boleh diakses pemain pelancongan dalam laman web rasmi STB di pautan www.sarawaktourism.com. Sehubungan itu, Abdul Karim menambah STB InTel akan menyediakan satu lagi komponen sebagai tulang belakang kepada strategi pelancongan digital Sarawak.

“Melalui inisiatif perkongsian data kerajaan kepada perniagaan (G2B) ini, kami berharap kementerian dan pihak berkepentingan industri pelancongan dapat memanfaatkan data yang dikumpulkan daripada agensi kerajaan, laman web pelancongan, selain Google Analytics.

 

“Ia untuk memantau keberkesanan strategi pelancongan, mengenal pasti peluang utama dan mencipta inisiatif baharu serta cadangan dasar dalam masa terdekat,” ujarnya.

 

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa perkongsian mereka dengan LVG melibatkan platform pembelajaran dan rangkaian berasaskan Eropah yang boleh dipercayai untuk profesional pelancongan.

 

“Platform e-pembelajaran ini untuk mendidik Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan produk pelancongannya melalui platform e-pembelajaran dan teknologi interaktif.

 

“ Saya bangga kerana Sarawak negeri pertama yang mengambil peluang melalui Platform Pembelajaran LVG untuk berhubung dan bekerjasama dengan profesional pelancongan di seluruh dunia bagi menonjolkan dan memberikan maklumat mengenai produk Sarawak sebagai destinasi yang mesti dilawati,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sejak pelancaran modul tersebut pada awal April kini terdapat 1,346 pengendali pelancongan keluar di rantau ini yang bersedia untuk mendaftar dalam kursus tersebut.

 

“Kami menjangkakan lebih 10,000 ejen pelancongan terpilih akan dilatih di bawah kursus pada penghujung tahun 2022. Program ini akan menetapkan 1,000 pengguna baharu bagi kursus setiap bulan dengan promosi yang dibarisi di India, pasaran Nordic dan di United Kingdom dalam beberapa bulan yang akan datang.

 

“Sebagai kesinambungan melatih warga tempatan kita supaya serba lengkap dan menjadi duta Sarawak, perkongsian ini akan menjadi peluang yang baik untuk kita melatih bakal ejen pelancongan antarabangsa melalui kursus destinasi Sarawak yang akan meluaskan jangkauan kita ke pasaran dengan berkesan dan menjadi suara Sarawak,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru