Sunday, May 29, 2022

Tingkat kekerapan penerbangan

Secara Rawak

KUCHING: Persatuan Puak Sim Teochew Sarawak berpendapat kerajaan dan syarikat penerbangan perlu melakukan lebih banyak lagi, terutama meningkatkan kekerapan penerbangan pada musim perayaan, bagi menangani isu harga tiket yang tinggi.

Naib Presidennya Datuk Sim Kiang Chiok berkata, ia bukan satu cadangan yang ideal untuk meminta orang ramai membeli tiket penerbangan mereka pada musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang, yang berbaki lebih enam bulan lagi.

“Saya rasa mungkin terlalu awal untuk berbuat demikian sekarang, terutamanya bagi mereka yang perlu membeli tiket untuk keluarga besar.

“Selain itu, mungkin terdapat beberapa promosi atau tiket penerbangan murah yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan dari semasa ke semasa sebelum Tahun Baharu Cina pada Januari tahun depan,” katanya ketika dihubungi.

Sim berkata, harga minyak mungkin turun apabila atau jika perang Rusia-Ukraine yang berterusan berakhir tahun ini.

Beliau berkata, meskipun meminta rakyat membeli tiket penerbangan mereka sekarang tidak akan menyelesaikan isu itu, namun dengan mempunyai tambahan syarikat penerbangan, laluan atau penerbangan memasuki Sarawak, dari bandar utama di Semenanjung Malaysia serta Singapura, sudah pasti akan meningkatkan persaingan dan sekali gus menurunkan tambang.

“Saya rasa masa terbaik atau masa paling sesuai untuk orang ramai menempah tiket mereka ialah sekitar dua hingga tiga bulan sebelum musim perayaan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, orang ramai perlu  membeli awal jika mereka mempunyai rancangan untuk pulang ke rumah.

Jika tidak, sebarang pembelian lewat atau saat akhir akan menyebabkan harga tiket yang tinggi.

Beliau berkata tiket penerbangan untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun depan tersedia dan harga antara RM300 dan RM400.

Dr Wee berkata demikian menjawab aduan harga tiket penerbangan yang tinggi semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu. Beliau berkata, perang Rusia-Ukraine yang berterusan menjejaskan harga minyak global dan seterusnya, tiket penerbangan untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa.

‘’Bukan mengatakan mereka melakukan ini dengan sengaja, tetapi ia disebabkan oleh kenaikan harga minyak.

“Dan kami juga perlu mempertimbangkan permintaan itu,” katanya, sambil menambah bahawa beliau telah meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk memantau harga berkenaan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru