Thursday, May 26, 2022

Pas tolak kerjasama dengan dengan kelompok rasuah, pecah amanah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: PAS menyatakan pendirian tidak akan bersama-sama dengan pihak yang terbukti bersalah melakukan tindakan pecah amanah, salah guna kuasa serta mengamalkan rasuah dalam kepimpinan.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, agenda penyatuan ummah yang dibawa PAS tetap akan diteruskan walaupun Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi menolak penyatuan itu.

“PAS memberi jaminan bahawa PAS akan teruskan agenda penyatuan ummah ini meskipun Presiden Umno menolak secara total agenda penyatuan ini.

“Untuk pemimpin Umno yang masih yakin bahawa PAS dan Umno adalah tawaran terbaik buat rakyat Malaysia, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan untuk teruskan agenda ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Khairil Nizam lagi, agenda penyatuan ummah  merupakan agenda yang perlu dibawa bersama-sama demi kesejahteraan dan kegemilangan Keluarga Malaysia.

Katanya, PAS akan terus dengan prinsip Islam Memimpin, Keadilan untuk Semua, dan Ummah sebagai Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama yang tidak ekstrim melawan Islam.

Katanya, PAS tetap dengan pendirian negara mestilah dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam selaku kelompok majoriti dalam usaha membangunkan negara yang adil dan makmur.

“Jurang perpaduan nasional, kesenjangan ekonomi yang ketara antara masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar, serta landskap politik negara yang bercelaru adalah antara masalah rakyat yang timbul akibat daripada lemahnya kuasa politik umat Islam di negara ini,” katanya lagi.

Justeru Khairil Nizam mengajak semua parti Islam dan Melayu duduk semeja dan memikirkan nasib generasi umat Islam di negara ini.

Katanya, seruan itu bagi memastikan nasib umat Islam lebih terpelihara serta dibela dari sudut pendidikan, ekonomi, sosial dan politik berteraskan kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru