Sunday, July 3, 2022

Jangan salah guna kuasa

Secara Rawak

KUCHING: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) tidak akan membenarkan sebarang kes buli berlaku secara terang-terangan, tegas presidennya Dr Koh Kar Chai.

Menurutnya, pihaknya juga melarang sama sekali wujudnya penyalahgunaan kuasa yang jelas dan berulang kali sehingga boleh menimbulkan kecederaan fizikal, sosial mahupun mental kepada para doktor perubatan termasuk doktor pelatih.

“Kes buli atau penyalahgunaan kuasa secara fizikal atau sosial tidak mempunyai tempat dalam sistem penjagaan kesihatan negara, sama ada ia menjejaskan doktor muda atau senior.

“Ia perlu dilaporkan dan tindakan tegas mesti diambil untuk mengelakkan kesinambungan insiden sebegini.

“Pihak kita juga sentiasa bersedia membantu mana-mana doktor perubatan yang datang kepada MMA untuk mendapatkan bantuan, terutamanya jika melibatkan buli,” katanya semalam.

Dalam pada itu, tegasnya, terdapat keperluan untuk melihat apakah punca sebenar berlakunya kes buli serta keseluruhan dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

“Ia juga perlu difahami punca dan mengapa terdapat tahap tekanan yang tinggi dalam kalangan doktor perubatan, terutamanya beberapa tahun kebelakangan ini.

“MMA juga menyedari kejadian sebegini semakin meningkat apabila terdapat peningkatan jumlah siswazah perubatan yang mengemukakan kebimbangannya mereka kepada Kementerian Kesihatan (KKM),” jelasnya.

Tambahnya, KKM juga menyediakan satu sistem dengan doktor kanan diberikan tugas menjaga kebajikan doktor pelatih, termasuk menyediakan sistem untuk doktor pelatih mengemukakan keluhan dan aduan untuk semakan.

“Bagaimanapun, ini hanya akan berkesan jika setiap jabatan menggunakan sistem ini dan memastikan tiada rasa takut atau pilih kasih terhadap pengendalian isu.

“Malah MMA juga telah melancarkan talian bantuan pada 2016 yang dipanggil HelpDoc untuk mereka yang memerlukan pelbagai jenis pertolongan termasuk sebarang kejadian buli.

“Ini dilakukan atas kepercayaan bahawa dengan kes itu diteliti oleh MMA, keadilan akan ditegakkan tanpa rasa takut untuk ditegur,” ujarnya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa KKM perlu melihat semua faktor yang boleh menjadi penyumbang kepada perkara tersebut dan juga cara menanganinya dalam sistem penjagaan kesihatan awamnegara.

“Ini bukan hanya tentang pegawai perubatan sahaja tetapi mengenai beban mental yang besar yang diletakkan di bahu semua doktor.

“Kita boleh bercakap tentang menyediakan penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada orang ramai, tetapi terlebih dahulu memikirkan kebajikan barisan kakitangannya kerana jika penyedia penjagaan kesihatan itu sendiri sakit, siapa pula yang akan dapat menjaga pesakit?”soalnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pasukan petugas yang ditubuhkan oleh KKM akan melihat budaya buli dan kebajikan semua doktor dalam ekosistem perubatan di Malaysia kerana kesannya bukan hanya kepada pelatih doktor tetapi juga masyarakat.

“Kami berharap pasukan petugas akan dapat mengiktiraf satu-satunya penyumbang utama kepada masalah semasa ialah bilangan siswazah perubatan yang tinggi dimasukkan ke dalam sistem kesihatan negara setiap tahun.

“Sebenarnya, kita sudah pun berdepan dengan masalah menguruskan bilangan besar lepasan perubatan muda dalam sistem itu,” katanya.

Dr Kho juga berkata, MMA gembira dengan liputan media mengenai isu kes buli kerana ia mewujudkan dorongan kepada keperluan untuk memahami kelemahan sistem kesihatan Malaysia dan diharapkan dapat melihat usaha pembetulan yang sangat diperlukan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru