Sunday, May 29, 2022

Hasrat wanita muda miliki kereta berkecai 

Secara Rawak

SIBU: Hasrat seorang wanita berusia 20-an untuk memiliki kereta berkecai apabila urusan jual beli dalam talian dengan jurujual maya rupa-rupanya  satu penipuan.

Kejadian itu berlaku di Kanowit apabila pengadu dikatakan melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan satu iklan jual beli kereta murah di satu akaun Facebook pada awal April lalu.

Pengadu kemudian berhubung dengan seorang jurujual lelaki selepas menekan pautan aplikasi WhatsApp yang tertera pada iklan tersebut.

Tanpa curiga,  menurut TVS pengadu terus bersetuju untuk membeli kereta jenis Proton Waja secara tunai bernilai RM4,000.

Pengadu kemudian membuat pembayaran pendahuluan melalui pindahan wang tunai berjumlah RM1,000 pada 20 April lalu.

Dua hari kemudian, pengadu dimaklumkan bahawa kereta yang dibelinya akan sampai di Sibu pada 12 Mei ini namun pengadu diminta untuk membuat bayaran RM3,000 terlebih dahulu untuk membolehkan kereta dihantar lebih awal iaitu pada 9 Mei ini.

Pengadu yang percaya dengan suspek telah meminta bantuan seorang rakan untuk membuat pembayaran ke dalam akaun yang sama pada akhir bulan April lalu.

Apabila tarikh yang dijanjikan tiba, pengadu cuba bertanya status penghantaran kereta yang dibeli namun panggilan telefon dan WhatsApp pengadu tidak dijawab oleh jurujual berkenaan sebelum dia menyedari bahawa dirinya telah ditipu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong yang dipetik TVS lagi, laporan berhubung kes tersebut yang diterima pihaknya pada Rabu.

“Kes tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu untuk tindakan dan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru