Sunday, May 29, 2022

Enam lelaki ditangkap, melakukan pemerasan media sosial

Secara Rawak

KUCHING: Enam pengendali akaun keldai yang digunakan untuk melakukan jenayah pemerasan melalui media sosial berjaya diberkas melalui Op Bugil.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata empat kes turut berjaya diselesaikan menerusi tangkapan tersebut.

“Bagaimanapun, dalang utama bagi sindiket tersebut masih cuba dijejaki pihak polis,” katanya pada wartawan ketika mengadakan Sidang Media Op Bugil di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini semalam.

Jelasnya, dua daripada enam suspek lelaki tempatan tersebut turut disahkan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut

Mengulas lanjut, pihak polis telah menerima sebanyak 29 laporan yang melibatkan jumlah kerugian bernilai RM114,730 pada tahun 2021.

“Manakala enam kes dilaporkan pada tahun ini dengan jumlah kerugian sebanyak RM22,200,” katanya.

Kebanyakkan mangsa adalah dalam kalangan lelaki berumur dalam lingkungan 18 hingga 47 tahun, diperdaya menerusi media sosial seperti MiChat, Facebook, WeChat dan WhatsApp.

“Modus operandi sindiket dilakukan melalui cara menghubungi mangsa menerusi aplikasi media sosial dan menyamar sebagai wanita seksi dengan mempamerkan aksi lucah untuk mengumpan sasaran.

“Pada masa sama, mangsa akan terpedaya untuk bersama-sama melakukan adegan lucah. Tanpa disedari, panggilan tersebut dirakam dan kemudian dijadikan sebagai bahan untuk mengugut mangsa.

“Mangsa kemudiannya diugut untuk membayar sejumlah wang ke dalam akaun pihak ketiga yang digunakan oleh sindiket tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, kejadian sedemikian akan memberi kesan terhadap mangsa seperti tekanan perasaan dan malu kerana maruah tercalar akibat daripada ugutan penyebaran gambar dan video tersebut, sekali gus mengalami kerugian dari segi wang ringgit.

Justeru, beliau berpesan agar orang ramai lebih berhati-hati ketika mengenali individu menerusi media sosial dan jangan mudah tergoda dengan kecantikan gadis yang baru dikenali.

Mancha turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya untuk menyewakan atau memberi kebenaran kepada pihak lain untuk menggunakan akaun bank hanya untuk mendapatkan sejumlah wang yang dijanjikan sindiket.

“Individu yang memberi pinjam atau menyewa akaun bank juga boleh dihukum di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru