Sunday, May 29, 2022

Buli memang berlaku – Dr Koh

Secara Rawak

KUCHING: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menerima 36 laporan berkaitan kes buli
membabitkan doktor pelatih sejak tahun 2016. Namun kebanyakannya berjaya diselesaikan menerusi siasatan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, beliau tidak pernah mendefinisikan kes buli tidak pernah berlaku, namun ia perlu ditangani segera agar tidak merosakkan profesion kedoktoran negara.

“Selain itu, MMA menerima lebih 120 aduan daripada kakitangan perubatan berhubung tekanan di tempat kerja sejak 2017 dengan lebih kurang 80 peratus daripada pelatih, 15 peratus daripada dan lima peratus daripada pakar.

“Jadi jangan sangka semua aduan datang daripada pelatih kerana doktor lain turut menghadapi masalah dalam pekerjaan. Semua orang ingat kebanyakan aduan daripada kes buli tapi sebenarnya bukan tapi tak dinafikan kes buli memang ada,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin Awani.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 84 kes lagi aduan diterima melibatkan isu tuntutan dan pertukaran tempat doktor bertugas.

“Kami berharap pasukan petugas yang ditubuhkan oleh KKM dapat membantu menyelesaikan isu ini kerana budaya buli ini bukan sahaja memberi kesan terhadap doktor pelatih malahan semua yang terlibat dalam profesion ini,” ujarnya.

Jelasnya, budaya buli perlu dihentikan bukan setakat melalui hukuman kepada pelakunya malah satu kajian secara menyeluruh juga perlu dibuat bagi mengetahui puncanya.
Dalam pada itu, Kar Chai turut menafikan aduan yang dibuat bocor atau gagal diselesaikan
sebelum ini kerana sebahagian aduan perlu dirahsiakan berikutan melibatkan kes sensitif
terutama gangguan seksual. “Terdapat juga kes pengadu menarik balik laporan yang dibuat.

Aduan ini ditarik balik secara sukarela, bukannya disebabkan pengadu diugut,” jelasnya. Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April 2022.

KKM juga dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat laporan
kematian doktor pelatih itu dan dakwaan budaya buli di kemudahan kerajaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru