Sunday, May 29, 2022

Bazar Gawai Dayak sehingga 22 Mei

Secara Rawak

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan menganjurkan Bazar Gawai Dayak di Taman
Tasik Permai pada 13 hingga 22 Mei ini.

Pengerusi jawatankuasa pengelolanya Kaunselor Sammy Ngelambai ketika dihubungi semalam berkata, bazar itu akan beroperasi dari jam 2 petang hingga jam 10 malam sepanjang 10 hari.

Beliau memberitahu, bazar itu akan menjual pelbagai produk, barangan termasuk makanan dan minuman.

“Kita menjemput orang ramai supaya datang ke bazar kita dan inilah kali pertamanya bazar anjuran MPS ini terletak di luar sedikit dari pusat bandar.

“Selalunya tapak bazar sebelum ini diadakan di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II,” ujar beliau yang merupakan Ahli MPS.

Sammy berkata, bazar ini turut mendapat kerjasama badan atau pertubuhan bukan
kerajaan Dayak.

Ujarnya, antara yang terlibat ialah Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA), Persatuan Kebangsaan Punan (PNA) dan Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS).

Sammy berkata, sebanyak 16 gerai akan didirikan yang menjual pelbagai barangan seperti cenderamata, kraf tangan, makanan, minuman, jualan kereta dan sebagainya. “Selain aktiviti jual beli produk, bazar kali ini dimeriahkan dengan hiburan seperti persembahan muzik jalanan atau ‘Busking’ dan sebagainya.

“Kita memohon pengunjung yang hadir nanti sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada jawatankuasa kami,” katanya.

Sementara itu, gotongroyong telah dijalankan oleh pihak MPS bersama-sama wakil badan atau pertubuhan bukan kerajaan Dayak untuk membersihkan tapak bazar itu pada Ahad lalu.

Gotong-royong tersebut diketuai oleh Sammy bersama-sama seorang lagi Ahli MPS Kaunselor Augustine Merican.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru