Thursday, May 26, 2022

Tegas kerana sayangkan S’wak

Secara Rawak

BETONG: Ketegasan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk tidak memberi ruang kepada Bersatu dan memastikan GPS bertanding di kesemua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak adalah kerana ‘sayangkan’ Sarawak.

Itu ditegaskan Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, yang memaklumkan Sarawak mempunyai acuan tersendiri untuk lebih maju. “GPS telah membuktikan prestasi cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), tanpa ada Bersatu.

“Maka, pada PRU-15 pun sama dan tindakan GPS meletakkan semua calon di 31 kerusi adalah wajar dan tepat… kerana kita sayangkan Sarawak, dan ada formula sendiri yang ‘ngam’ dengan suasana di sini,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi PBB yang juga Adun Saribas itu berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa PBB Cawangan Saribas di sini, pada Isnin. Jelasnya, rakyat semakin percaya kepada GPS selepas melihat usaha keras barisan kepimpinannya untuk membawa Sarawak lebih maju daripada negeri lain.

“Justeru pada PRU-15 nanti, kita mengharapkan GPS sekali lagi diberikan sokongan yang padu. “Ini penting bagi memastikan suara wakil kita dari Sarawak didengar jelas oleh Kerajaan Persekutuan terutama dalam mengembalikan hak serta kepentingan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.

Terdahulu ketika mempengerusikan mesyuarat, beliau mahu jentera parti di kawasannya terus berusaha menarik sokongan orang ramai khususnya pengundi muda untuk bersama dalam GPS. Beliau mengingatkan mereka agar tidak leka dan berasa terlalu selesa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru