Wednesday, May 25, 2022

Penerbangan lewat: Alasan  AirAsia tak boleh diterima

Secara Rawak

KUCHING: AirAsia tidak sepatutnya menjual tiket jika ia tidak dapat menyediakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

Ini menurut beliau menyebabkan pelbagai kesulitan dan  kerugian ekonomi kepada orang ramai.

“Terutamanya pada musim perayaan,  perkara ini tidak boleh diterima, dan Mavcom harus mempertanggungjawabkan mereka untuk melindungi hak pengguna,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya  meskipun keselamatan pesawat dan penumpang adalah paling penting, syarikat sepatutnya menjangkakan keadaan ini terutamanya menjelang musim perayaan, lebih-lebih lagi selepas sempadan negara dibuka mulai 1 April lalu.

Katanya lagi, jika syarikat itu sedar bahawa pesawatnya tidak mencukupi, ia tidak sepatutnya membuka semua tiket itu untuk dijual kepada orang ramai.

“Sekiranya mereka tahu tidak dapat memenuhi permintaan, mereka sepatutnya tidak membenarkan tiket itu dijual,” tegasnya sambil memetik contoh bagaimana seorang penumpang menempah tiket atas talian untuk dua minggu akan datang, tetapi beberapa jam kemudian, menerima SMS memaklumkan penerbangan telah dijadualkan semula.

Baru-baru ini para penumpang merungut dan mengkritik melalui media sosial kelewatan serta penjadualan semula penerbangan domestik sehingga menimbulkan masalah kepada mereka.

AirAsia  semalam mengeluarkan permohonan maaf  dengan menjelaskan bahawa pesawat mereka tidak mencukupi.

Ini  jelasnya adalah kerana  syarikat itu memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan selepas lama tidak digunakan, terutama sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru