Tuesday, June 28, 2022

Mudah mohon biasiswa

Secara Rawak

KUCHING: Pelajar berprestasi tinggi yang mendaftar program ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak layak menerima biasiswa di bawah Biasiswa Penuh Kecemerlangan Pro-Canselor.

Menurut kenyataan, pelajar yang layak mendapatkan biasiswa tersebut adalah mereka yang memperoleh sama ada 4A dalam STPM/A, 7A dalam UEC, PNGK 4.00 dalam pengajian Yayasan Swinburne, atau setara.

Salah seorang pelajar yang dianugerahkan Biasiswa Penuh Kecemerlangan Pro-Canselor Kevin Wee Liang Siang berkata, dia gembira dan teruja apabila menerima biasiswa penuh itu.

Dia juga sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Awam).

“Saya bersyukur kerana Swinburne Kampus Sarawak memilih saya sebagai penerima biasiswa ini.

Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan dan keluarga yang sentiasa menyokong saya. “Proses permohonan biasiswa adalah agak mudah.

Bagaimanapun, untuk memenuhi keperluan itu, banyak kerja keras dan usaha yang perlu dilakukan semasa saya menjalani program Asasi,” katanya.

Bagi Hii Wang Cheong yang juga menerima biasiswa tersebut, dia sangat bersyukur kerana menerima biasiswa penuh, dan menyifatkannya sama seperti pengesahan dari universiti.

“Saya kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Awam).

Cita-cita saya untuk mengusahakan projek pembinaan di Sarawak selepas tamat pengajian, demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak,” ujarnya.

Pelajar yang berminat untuk memohon Biasiswa Penuh Kecemerlangan Pro-Canselor boleh mengemukakan borang permohonan dengan semua dokumen yang diperlukan ke study@swinburne.edu.my. Biasiswa penuh ini terbuka kepada pelajar Malaysia yang baru mendaftar ke program pengajian sarjana muda.

Pelajar yang memenuhi kriteria harus mengambil peluang dan memohon Biasiswa Penuh Kecemerlangan ProCanselor secepat mungkin untuk menikmati pengecualian yuran 100 peratus.

Pelajar yang tidak memenuhi syarat untuk Biasiswa Penuh Kecemerlangan Pro-Canselor tidak perlu risau; mereka masih boleh meneroka pelbagai biasiswa dan dermasiswa lain yang ditawarkan oleh Swinburne Sarawak untuk program asasi, diploma, sarjana muda dan pascasiswazah.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi +6082-415 353, Kaunselor Pendidikan Swinburne melalui WhatsApp di +6019-819 6353 atau menghantar e-mel ke study@swinburne.edu.my. Untuk maklumat lanjut tentang Swinburne, layari laman webnya (www.swinburne.edu. my), halaman Facebook (@ swinburnesarawak), Instagram (@swinburnesarawak), halaman Twitter (@Swinburne_Swk) atau saluran YouTube (Swinburne Sarawak).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru