Friday, July 1, 2022

Demi keselamatan di jalan raya

Secara Rawak

SIBU: Pertandingan Lalu Lintas Shell akan dihidupkan kembali oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dalam usaha mendidik pelajar sekolah tentang keselamatan jalan raya.

Menterinya Datuk Seri Lee Kim Shim berkata, kali terakhir pertandingan itu diadakan adalah sekitar 90-an dan dihentikan atas sebab-sebab tertentu.

“Hingga ke hari ini, pertandingan ini tidak lagi diadakan. MOTS melalui Jawatan Pengangkutan Awam yang ditubuhkan kami ini berpendapat ia wajar diadakan semula.

“Ini kerana beberapa tempat seperti Miri, Kuching, Sibu dan lain-lain tempat mempunyai Taman Lalu Lintas untuk mengadakan pertandingan ini,” katanya pada sidang media di sini selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Pengangkutan Awam Bahagian Sibu di Pejabat Residen Sibu di sini, pada Isnin.

Jawatankuasa Pengangkutan Awam Bahagian Sibu dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng serta dianggotai oleh Pegawai dari agensi berkaitan dengan pengangkutan dan trafik.

Dalam pada itu, Lee berkata, pertandingan ini sangat penting kerana ia merupakan didikan awal untuk keselamatan jalanraya. Menurut beliau yang juga Adun Senadin, pertandingan ini akan membolehkan seseorang itu mempelajari tentang lalulintas, keselamatan jalan raya, undang-undang jalan raya dan sebagainya.

Rentetan itu, jelasnya, ia boleh mendidik seseorang itu khususnya golongan muda amnya pelajar sekolah menjadi pengguna jalan raya yang baik dan sopan ketika berada di atas jalan raya.

“Dalam mesyuarat ini, ia merupakan salah satu agenda yang dibincangkan. Kami akan cuba mengadakan semula pertandingan ini tidak lama lagi selepas membuat beberapa penilaian dan pertimbangan berkaitan,” ujar beliau.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee, Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek dan Setiausaha Tetap MOTS Datu Buckland Bangik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru