Thursday, August 18, 2022

Siapkan projek ikut jadual

Secara Rawak

KANOWIT: Penduduk di Rumah Jimmy Jarau di Nanga Lakah dekat sini akan menikmati hubungan jalan raya yang lebih selesa selepas ini.

Ini susulan Adun Ngemah Anyi Jana telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Simpang Rumah Jimmy Jarau, Nanga Lakah kelmarin.

Ketika berucap menyempurnakan majlis tersebut, beliau berkata, projek itu dilaksanakan di bawah projek transformasi luar bandar (RTP) Dun Ngemah.

“Projek jalan tersebut yang jaraknya sepanjang 1.9 km akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor Lian Enterprise dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai Agensi Teknikal bagi projek tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kos serta butiran projek itu dengan lebih lanjut.

Anyi turut memberi penekanan agar pihak kontraktor dapat menyiapkan kerja-kerja pembinaan mereka mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan.

“Untuk itu, saya juga menyeru agar penduduk Rumah Jimmy dapat memberi kerjasama kepada pihak kontraktor dan juga Agensi Teknikal yang terlibat,” jelas beliau.

Pada majlis yang sama, beliau juga menerangkan beberapa jenis projek yang ada diperuntukkan oleh Kerajaan GPS, melalui peruntukan yang disalurkan kepadanya.

Sehubungan itu, Anyi menjelaskan agar pihak yang berminat boleh memohon projek tersebut dengan menulis surat permohonan dan diserahkan ke pusat khidmatnya yang di Pekan Kanowit.

Beliau juga turut memberi penerangan mengenai pinjaman perumahan bagi rumah panjang yang berminat.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Susan Clement Ingun dan Penghulu Juni Masam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru