Thursday, May 26, 2022

Siap sedia hadapi kes baharu Covid-19

Secara Rawak

SIBU: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Wong Hee Sieng memberitahu bahawa pihaknya sudah bersedia menghadapi peningkatan kes baharu Covid-19 yang dikhuatiri berlaku selepas sambutan perayaan Aidilfitri dan Gawai Dayak.

Ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Palang Merah Sedunia dan Hari Bulan Sabit Merah semalam, beliau berkata, langkah awal sudah disediakan termasuk asetnya.

Menurut beliau, JPBBS sudah menyediakan asetnya seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), tenaga kerja, fasiliti berkaitan termasuk Hospital Medan.

“Kita sudah bersedia dari segi aset dan tenaga kerja seandainya kes baharu di sini meningkat.

“Segalanya cukup untuk kita menghadapi sebarang peningkatan kes dan diharap ia tidak berlaku. Ia hanya sebagai angkah persediaan kita sahaja seandainya berlaku,” jelas beliau.

Wong berkata, pihaknya sentiasa bersedia dan akan memantau situasi Covid-19 di sini dari semasa ke semasa.

Beliau yang juga Residen Bahagian Sibu memberitahu bahawa Hospital Medan yang terletak di Hospital Sibu sudah pun beroperasi.

“Hospital Medan ini mempunyai sebanyak 100 buah katil untuk menampung pesakit. Ia akan berkhidmat untuk kawasan wilayah tengah dan bukan hanya untuk bahagian Sibu.

“Ini bermaksud kita menerima pesakit dari Mukah, Sarikei, Kapit dan kawasan yang lain,” kata beliau.

Ujarnya lagi, keadaan Covid-19 di sini ketika ini sudah semakin menurun kesnya dan terkawal.

“Kita harap keadaannya baik-baik sahaja, lagi pula faktor vaksinasi turut memainkan peranan terhadap penurunan kes selama ini.

“Jadi kepada golongan yang berusia yang sudah menerima janji temu mendapatkan dos kedua penggalak supaya turun menerima suntikan,” kata beliau.

Dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan tersebut, Wong yang juga Penaung PBSMM Cabang Sibu menyifatkan organisasi tersebut telah memainkan peranan besar sewaktu negara khasnya Sibu dilanda pandemik tahun lalu.

Ujarnya, ahli-ahlinya membantu kerajaan khususnya terlibat dalam program vaksinasi Covid-19.

“Semangat kesukarelawan seperti ahli PBSMM ini wajar dipuji dan diteruskan sampai bila-bila. “Kerajaan sangat memerlukan semangat sebegini ketika kita dilanda krisis kesihatan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada organisasi tersebut untuk terus merekrut lebih ramai lagi ahli menyertai mereka khususnya di kalangan belia.

Pada majlis yang sama, Wong turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 21 orang sukarelawan daripada organisasi itu yang telah membantu hospital Sibu melancarkan program vaksinasi dari Mei hingga Disember tahun lalu.

Wong juga turut menerima surat pelantikannya sebagai Penaung PBSMM Cabang Sibu yang disampaikan oleh Pengerusi PBSMM Cabang Sibu Penghulu Chua Hiong Kee.

Hadir sama ialah dua Penasihat PBSMM Cabang Sibu iaitu Datuk Lau Ngie Hua dan Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming dan Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng Li Chin.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru