Sunday, July 3, 2022

Evolusi kewartawanan

Secara Rawak

KUCHING: Wartawan konvensional tidak harus berasa terancam dengan kemunculan media baharu kerana ia merupakan satu evolusi kewartawanan.

Penasihat Editorial (Politik) Utusan Sarawak William Chan berkata, pengamal media harus belajar untuk mengadaptasikan perubahan tersebut dengan menyesuaikan diri dengan peredaran zaman.

“Ini kerana perubahan yang berlaku sesuai dengan perkembangan teknologi yang diterajui oleh tuntutan revolusi Internet.

Ia yang berlaku sekarang.

“Jangan bimbang, sama ada anda pengamal media cetak atau media konvensional, ia adalah tabiat baharu pengguna dalam mendapatkan berita semasa kerana mahukan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel dan Seminar Kewartawanan 2022 anjuran Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (Pewarta) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.

“Surat khabar kini semakin berkurangan dicetak, manakala laman sesawang, blog, portal dan sebagainya semakin berkembang. Itulah hakikatnya.

“Tidak salah untuk kita mencari cara menanganinya kerana ia cabaran tersebut.

Namun lebih bagus kita mengambil masa, mengadaptasikan pengaruh digital ini dengan betul sebagai cara menghadapinya.

“Sebagai wartawan terlatih, kita mesti berhati-hati dan teliti. Dalam masa yang sama, timba ilmu sedalam mungkin.”ujarnya.

Terdahulu, seminar yang bertemakan “Pertemuan Minda: Bagaimana industri surat khabar dan kewartawanan di Sarawak bergerak ke hadapan” dihadiri sekitar 40 pengamal media dari sekitar Kuching.

Seminar selama empat jam tersebut dikendalikan oleh wartawan veteran berpengalaman lebih 40 tahun, Desmond Davidson dari Malaysian Insight serta disertai tiga panel berpengalaman luas, iaitu Toman Mamora, William Chan dan James Ritchie.

Antara topik yang dibincangkan adalah melihat keseluruhan industri kewartawanan Sarawak, kejayaan dan kegagalan industri dalam tiga dekad, rasional untuk mempunyai berita dalam bentuk cetak dan dalam talian dan banyak lagi.

Untuk rekod, Pewarta merupakan sebuah persatuan yang baharu ditubuhkan untuk wartawan bebas di Kuching bagi menyediakan tempat kepada para ahlinya mempunyai platform untuk terus menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat.

Objektif utama adalah bagi menyediakan ruang untuk menganjurkan forum, perbahasan, bengkel serta latihan untuk ahli-ahli melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan.

WILLIAM CHAN 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru