Thursday, May 26, 2022

Empat lelaki diserbu ketika leka berjudi

Secara Rawak

BAU: Empat lelaki yang sedang leka berjudi ditangkap dalam satu serbuan di Jalan Krokong, Kampung PLM Buta, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, semua suspek berumur antara 30 hingga 35 tahun ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau kira-kira 3.30 petang.

“Pasukan serbuan turut merampas 52 keping daun terup, seunit telefon bimbit dan kad sim, sekeping kad memori dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan terhadap suspek mendapati tiada rekod kesalahan lampau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kesalahan di Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.

Sementara Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.

Polis melakukan pemeriksaan terhadap suspek ketika serbuan dijalankan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru