SARATOK: “Saya sentiasa setia terhadap perjuangan walaupun tidak lagi memegang apa-apa jawatan penting dalam parti selepas ini,” kata mantan Ketua Cawangan Parti Bumiputera Bersatu (PBB) Krian, Datuk Douglas Sullang.
Jelasnya, keputusan mengundur diri adalah untuk memberi peluang kepada muka baharu dengan idea-idea baharu untuk mengemudi parti selepas ini. “Terima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi sepanjang saya berkhidmat selaku Ketua Cawangan PBB Krian.
“Harapan perjuangan saya untuk menamatkan sistem kuota yang terpakai selama ini dapat diteruskan oleh barisan kepimpinan baharu nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan sekitar 250 perwakilan PBB Krian yang hadir daripada 14 ranting pada Mesyuarat Agung Perwakilan Cawangan Parti Bumiputra Bersatu (PBB) N.39 Krian yang berlangsung sehari di Dewan Rumah Dayak di sini kelmarin.
Tambahnya, dengan jumlah keahlian anggota PBB Krian yang menjangkau sekitar 3,000 orang menunjukkan parti ini mempunyai sokongan yang kuat.
Sehubungan itu, sudah tiba masanya calon yang berkelayakkan daripada kalangan ahli-ahli PBB Krian juga harus diberi peluang untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Secara dasarnya, kita (PBB Krian) akan tetap menyokong sesiapa sahaja calon yang akan bertanding dari mana-mana parti-parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam manamana pilihan raya.
“Ini telah terbukti sebelum ini, pada PRN-12 lepas, ahli kita turut memberikan sokongan padu, malah turut membantu sepanjang tempoh berkempen.
Sementara itu, Ketua Cawangan PBB Krian yang baharu, Bell Temenggong Datuk Bernard Aggan berkata, sebagai sebuah parti yang menjadi tulang belakang, ahli-ahli PBB Krian perlu sentiasa merapatkan saf dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam semua perkara yang melibatkan parti.
“Perlu diberi perhatian bahawa, situasi politik negara amnya dan di Krian khususnya telah banyak berubah ketika ini.
“Saya berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi dalam kalangan ahli PBB Krian dan ahli parti komponen di Krian,” katanya.
Untuk sesi 2022-2025, Cawangan PBB Krian dibarisi hampir 90 peratus muka baharu dengan Bell anak Temenggong Datuk Bernard Aggan selaku Ketua Cawangan, Kaunselor (CR) Edmund Uda (Timbalan Ketua), tiga orang Naib Ketua Cawangan iaitu Tera Baby Entamin, Cr. Soontik Changkan dan Hardy Boy Ramping.
Selain, Leonard Jambu dipilih sebagai Setiausaha, dan dibantu oleh Cr. Sambang Takin.
Manakala, Stephen Arin Lutik sebagai Bendahari yang turut dibantu timbalannya, Walker Enjop dan Sanggit Amit bertindak selaku Ketua Penerangan di samping 19 jawatan AJK.
Kesemua barisan kepimpinan kali ini kecuali bagi jawatan yang dilantik oleh Ketua Cawangan telah dimenangi tanpa bertanding.