Thursday, August 18, 2022

Serap guru kontrak jadi tetap

Secara Rawak

KUCHING: Selain melanjutkan khidmat 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS), diharap mereka bakal ditawarkan tugasan tetap bagi mengisi kekosongan jawatan terutamanya di Sarawak.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah berkata, ia satu kerugian sekiranya mereka tidak diserapkan ke dalam sistem pendidikan negara kerana telah dilatih dan dianugerahkan kelayakan untuk mengajar di sekolah.

Beliau menyambut pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bahawa khidmat 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS) yang tamat Jun ini dilanjutkan.

“Berita ini sememangnya diharapkan memandangkan guru-guru tersebut telah dilatih dan akan dianugerahkan kelayakan mengajar di sekolah.

“Ia sangat wajar bagi membantu sekolah yang kekurangan guru di seluruh negara, khususnya Sarawak,” katanya.

Beliau turut berharap, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak melihat semula penempatan guru COS ini di sekolah-sekolah yang benar-benar memerlukan perkhidmatan berdasarkan pengkhususan ijazah mereka.

“Kita mahu agar penempatan guru ini disemak semula supaya tidak mempunyai lebihan guru dalam bidang tertentu di bahagian tertentu sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Radzi memberitahu nasib 2,600 COS ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

Bagaimanapun katanya, perincian mengenai berita menggembirakan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sejurus perbincangan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru