Tuesday, June 28, 2022

Sedia untuk dos penggalak kedua

Secara Rawak

KUCHING: Orang ramai yang layak di negeri ini digesa untuk segera tampil bagi mendapatkan suntikan dos penggalak kedua Covid-19, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya yang juga Menteri Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, setakat 5 Mei lalu, hanya 1,561 rakyat Sarawak yang layak sudah menerima dos penggalak masingmasing.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 939 individu dari Kuching,” katanya mengulas mengenai penerimaan dos penggalak kedua dalam kalangan masyarakat di negeri ini, Sabtu.

Tambahnya, terdapat sejumlah 302,243 rakyat Sarawak yang mempunyai risiko kesihatan atau mereka yang berumur 60 tahun ke atas layak menerima dos penggalak kedua tersebut sejak ia dilancarkan.

Dr Sim, yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) menggesa mereka yang layak untuk mengunjungi pusat kesihatan, klinik, hospital atau klinik kesihatan swasta yang terdekat bagi mendapatkan suntikan.

“Kesihatan anda tanggungjawab anda. Kini gejala mungkin ringan tetapi kita masih kehilangan rakyat Sarawak setiap minggu akibat wabak tersebut,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Sim memberitahu sekitar 1.818 juta penduduk Sarawak telah divaksin sepenuhnya setakat 6 Mei.

“Manakala, kira-kira 1.641 juta rakyat negeri ini telah menerima dos penggalak pertama,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Sarawak akan memulakan pemberian suntikan dos penggalak kedua pada 22 April lalu dengan dua kategori penerima yang layak, iaitu individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi serta individu yang mempunyai sistem imunisasi sederhana atau teruk berumur 12 tahun ke atas.

Pada 14 April, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, individu layak tersebut diberi pilihan untuk mendapatkannya, dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh vaksin pertama dos penggalak.

Menurut Khairy, keputusan itu dibuat selepas kajian saintifik dan kajian kohort Malaysia oleh panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), yang mendapati individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi berisiko lebih tinggi mempunyai simptom yang serius dan kematian akibat Covid-19.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru