Monday, May 16, 2022

Sarawak adakan dua Maraton gergasi awal Oktober ini

Secara Rawak

KUCHING: Kuching Maraton 2022 (KM2022) edisi ke-7 bakal diadakan 2 Oktober ini bertempat di Padang Merdeka, Kuching.

Aktiviti larian jarak jauh selepas itu akan disambung dengan Miri Maraton 2022 (MM22) edisi ke-5 yang akan diadakan di Taman Bulatan Miri pada 6 Oktober 2022.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, aktiviti yang telah tergendala dua tahun tidak diadakan akibat Covid-19 itu dijangka akan mendapat sambutan orang ramai khususnya daripada peserta daripada negara luar.

“Saya telah diberitahu pihak pengurusan menyasarkan 10,000 peserta di dalam anjuran KM2022 manakala seramai 7,000 dijangka akan menyertai MM22 yang akan diadakan empat hari selepas KM2022.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran kedua-dua larian maraton di Bangunan Baitulmakmur II, pagi tadi.

Tambahnya, setakat ini seramai 2,480 peserta sudah berdaftar termasuk yang sudah berdaftar ketika pandemik Covid-19 melanda semenjak dua tahun lalu.

“Ini merupakan perkara yang kita harapkan pada dua tahun lalu namun tidak dapat dilaksanakan dan saya percaya siapa-siapa yang terlibat dalam maraton sebelumnya, mereka sedang menantikan acara ini dilangsungkan lagi.

“Pelancaran bagi kedua-dua acara yang dilangsungkan pada tarikh-tarikh berlainan ini secara tidak langsung akan memberi permulaan yang baik dalam menyokong sukan pelancongan di mana selepas itu akan berlangsungnya larian Spartan, seminggu sebelum Festival Hutan Hujan Tropika (RMWF),” katanya.

Menurutnya, KM2022 mengetengah sebanyak empat kategori terdiri daripada marathon penuh (42 Kilometer) pada jam 1 pagi, maraton separuh (21 km) pada jam 4 pagi, larian 10 km jam 5.30 pagi, diikuti 5 km jam 6.30 pagi.

Manakala MM22 membuka sebanyak tiga kategori merangkumi 10, 21, dan larian 42 Km.

Dedahnya, kesemua peserta bagi setiap kategori dipertandingkan akan diberikan medal berlainan warna dan saiz mengikut kategori masing-masing.

Justeru, beliau menyeru para peserta atau mana-mana individu yang berminat untuk menyertai acara boleh mendaftar di laman web www.kuchingmarathon.com atau www.mirimarathon.com dalam masa terdekat.

Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru