Wednesday, May 25, 2022

Pastikan calon sesuai, mampu berkhidmat

Secara Rawak

SARATOK: “Kita harus ingat, hanya Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mampu dan diyakini dapat memperjuangkan hak rakyat dan membangunkan Sarawak,” ujar Ketua Cawangan Parti Bumiputra Bersatu (PBB) Krian, Bell anak Temenggung Datuk Bernard Aggan.

Menurutnya, perkara yang paling penting buat masa ini ialah memastikan kerusi Parlimen Saratok milik GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, seperti yang berlaku pada PRN12 Disember lalu.

Ia bagi memastikan nasib rakyat di sini terus terbela di bawah payung GPS.

“Kita berharap dalam penentuan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen P. 205 Saratok ini nanti, GPS dapat mengetengahkan calon yang benar-benar layak selain mendapat sokongan padu daripada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Sama ada calon itu nanti daripada PBB, PRS mahupun PDP itu tidak menjadi masalah bagi kami kerana yang penting asalkan calon GPS.

“Ini penting memastikan Kerusi Parlimen Saratok ini akan kembali menjadi milik GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media mengenai persiapan PBB Krian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Dewan Rumah Dayak di sini kelmarin.

Tambah beliau, PBB Krian sememangnya lama mempersiapkan diri untuk PRU-15 nanti dan untuk itu, PBB Krian kini membuka peluang kepada mana-mana ahli PBB Krian yang berminat supaya memulakan atur gerak mereka dari sekarang.

“Kita akan membuka peluang kepada mana-mana ahli PBB Cawangan Krian yang berminat untuk menjadi calon bertanding mewakili GPS di kerusi parlimen Saratok pada PRU-15 nanti.

“Supaya memulakan atur gerak mereka untuk melobi dari sekarang.

“Bagaimanapun, keputusan akhir terpulang kepada budi bicara dan kebijaksanaan pihak pucuk pimpinan peringkat tertinggi parti.

Ujarnya lagi, langkah ini amat penting untuk mencari calon yang benar-benar sesuai dan mampu berkhidmat untuk rakyat di Saratok.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru